Skip to main content

Malaysia

Rentas Asia dengan basikal, pengayuh solo Iran jejak Malaysia bawa mesej keamanan dunia

AREZOO ESKANDARI,IRAN, SOLO kredit Astro AWANI
Arezoo tiba sejak Selasa lalu ingin berhubung dengan kelab pengembara berbasikal di Malaysia untuk bertukar maklumat mengenai Iran dan rantau Asia Tenggara. - Astro AWANI.

KUALA LUMPUR: Pengayuh basikal solo dari Iran, Arezoo Eskandari, 35, tiba di Malaysia sejak Selasa lalu selepas menempuh lebih kira-kira 8,000 kilometer kayuhan dari Beijing dalam misi menyebarkan mesej keamanan dunia.

Menurutnya, konflik susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas tanah airnya sejak 28 Februari lalu tidak melemahkan semangatnya untuk terus mengayuh secara solo bermula pada 25 November tahun lalu.

“Setelah tercetusnya perang, saya menjadi lebih bersemangat untuk meneruskan misi ini ke negara seterusnya kerana saya membawa mesej keamanan ke seluruh dunia,” katanya pada sidang media di Pusat Kebudayaan Iran di sini, hari ini.

Tambahnya, beliau memaklumkan ahli keluarganya selamat sepanjang lebih 40 hari konflik dan sentiasa berhubung bagi mendapatkan perkembangan semasa.

Beliau memulakan perjalanan dengan penerbangan dari Esfahan ke Beijing sambil membawa komponen basikalnya, sebelum memulakan kayuhan merentasi beberapa negara termasuk Vietnam, Laos dan Thailand.

Sepanjang pengembaraan tersebut, Arezoo turut berkesempatan beramah mesra dengan penduduk tempatan dalam kalangan warga Asia Tenggara sambil berkongsi sedikit sebanyak maklumat mengenai tanah airnya.

Menurutnya, terdapat dalam kalangan warga Thailand yang ditemuinya terkejut melihat wanita mengayuh basikal secara solo, malah ada yang beranggapan kehidupan wanita di Iran tidak bebas untuk mendapatkan pendidikan.

“Mereka (warga Thailand) amat terkejut melihat seorang gadis dari Iran memiliki pendidikan universiti. Saya menjelaskan bahawa perkara itu tidak benar (wanita tidak berpeluang dalam pendidikan)... ia bukan seperti yang mereka sangkakan,” katanya.
 

Image
arezoo eskandari -- Astro AWANI


Arezoo, yang juga duta Pertubuhan Pelancongan Negeri Esfahan di Asia turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia atas layanan mesra yang diberikan kepadanya.

Tambahnya, beliau bercadang untuk berada di Malaysia selama sebulan dan akan berhubung dengan kumpulan pengembara berbasikal tempatan sebelum meneruskan perjalanan bermula dari ibu kota ke selatan tanah air.

“Sejak beberapa hari saya di sini, saya dapati rakyat Malaysia amat bersopan-santun, peramah dan kaya dengan budi bahasa, saya gembira berada di sini,” katanya.

Beliau yang juga jurulatih kecergasan dan pendaki gunung, serta memiliki sarjana dalam bidang psikologi, memaklumkan bahawa kos pengembaraan itu ditanggung sendiri. 

Beliau turut menjual kenderaannya bagi menampung perbelanjaan, selain membawa barangan seberat kira-kira 60 kilogram termasuk peralatan memasak dan khemah untuk kegunaan harian.

Di beberapa negara yang dilaluinya, beliau menginap di hotel bajet, selain turut menerima tawaran daripada penduduk tempatan untuk bermalam di bilik mereka.

Sehingga kini, beliau masih berharap ada pihak yang sudi menaja perjalanannya sebelum meneruskan kayuhan ke Indonesia, Thailand dan Pakistan, sebelum pulang ke Iran.

Namun, sejak dari awal Arezoo telah menyedari pengembaraan ini membawa pelbagai cabaran termasuk kos, cuaca dan sosio-budaya. 

“Setiap waktu perjalanan merupakan detik manis untuk saya, tetapi apa yang lebih indah apabila warga tempatan menerima kedatangan saya ibarat ahli keluarga mereka, ia sangat menggembirakan,” katanya lagi.

Must Watch Video