MANILA: AirAsia Philippines mengumumkan pada Khamis garis panduan terkini berhubung penggunaan bank kuasa dan peranti elektronik, bagi mengurangkan lagi kebimbangan mengenai keselamatan dalam penerbangan, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Menurut syarikat itu, dasar yang lebih ketat ini selaras dengan piawaian keselamatan penerbangan global untuk mengurangkan risiko insiden berkaitan bateri semasa penerbangan.
Setiap penumpang dibenarkan membawa sehingga dua unit bank kuasa, dengan setiap satu tidak melebihi kapasiti 100Wh. Peranti itu harus disimpan dengan betul sama ada di bawah tempat duduk atau di dalam poket tempat duduk. Unit yang rosak akan dirampas.
Bank kuasa hendaklah diasingkan daripada bateri gantian, yang mesti dibawa dalam bagasi kabin dan dilindungi secara individu bagi mengelakkan litar pintas.
Sementara itu, peranti elektronik seperti jam tangan, kalkulator, kamera, telefon bimbit, komputer riba dan kamera perakam masih dibenarkan dibawa ke dalam pesawat.
Peranti yang menggunakan bateri litium atau litium-ion melebihi 100Wh tetapi tidak lebih 160Wh boleh dibawa untuk kegunaan peribadi, tertakluk kepada kelulusan syarikat penerbangan.
Rokok elektronik dan peranti berkuasa bateri yang boleh mengimbang sendiri kekal dilarang sama sekali dalam bagasi daftar masuk, menurut AirAsia.
Satu kebakaran pernah berlaku dalam pesawat syarikat penerbangan asing yang menuju ke Hong Kong dari Busan tahun lepas.
Kebakaran itu bermula dari ruang simpanan atas, menunjukkan kemungkinan ia disebabkan oleh peranti elektronik atau bank kuasa.
-- BERNAMA-PNA