Skip to main content

Malaysia

Lelaki disyaki cuba mencuri di pencawang TNB cedera terkena renjatan elektrik

TNB PDRM
Suspek ditemukan dalam keadaan terbaring di dalam pencawang akibat terkena renjatan arus elektrik yang kuat. - PDRM via Bernama

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki yang disyaki cuba mencuri di sebuah pencawang milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) cedera dipercayai terkena renjatan arus perdana yang kuat di Taman Ria Jaya dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata pada 27 April lepas, anggota di pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda menerima panggilan daripada juruteknik TNB pada 2.08 petang memaklumkan berlaku kes kecurian di pencawang itu.

"Anggota unit rondaan bermotosikal ditugaskan ke lokasi... suspek ditemukan dalam keadaan terbaring di dalam pencawang akibat terkena renjatan arus elektrik yang kuat… suspek berusia 30-an itu kemudian ditahan dan dirawat kerana mengalami kecederaan parah… isi tangannya terbakar," menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata bagaimanapun, tiada kamera pengawasan di kawasan itu selain tiada saksi yang melihat kejadian tersebut.

"Siasatan awal mendapati lelaki yang tidak bekerja itu mempunyai dua rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 379 dan 324 Kanun Keseksaan," katanya.

Hanyan berkata suspek yang masih dirawat di hospital direman selama tiga hari, dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

Must Watch Video