Skip to main content

Dunia

Persatuan Bola Sepak Palestin rayu keputusan FIFA tidak kenakan sekatan terhadap Israel ke mahkamah

Setiausaha Agung FIFA, Mattias Grafstrom, menegaskan bahawa organisasi tersebut kekal fokus terhadap penyertaan semua pasukan dalam Piala Dunia 2026, meskipun selepas Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ketenteraan ke atas Iran.
Pada Mac, Jawatankuasa Tatatertib FIFA mendapati Persatuan Bola Sepak Israel (IFA) bersalah atas pelbagai pelanggaran diskriminasi yang "serius dan sistemik", namun tidak mengenakan sekatan besar. - Gambar fail

ISTANBUL: Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA) telah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) terhadap keputusan badan induk bola sepak dunia, FIFA yang tidak mengenakan sekatan ke atas Israel berhubung isu kelab yang berpangkalan di penempatan haram di Tebing Barat, lapor  Anadolu Ajansi (AA).

“Memandangkan kami telah menggunakan setiap saluran undang-undang yang ada di FIFA, kami akan tetap mengikut peraturan serta prosedur dan merayu keputusan itu kerana kami menganggap ia sangat tidak adil dan tidak membela keadilan,” kata Naib Presiden PFA Susan Shalabi pada Rabu selepas kongres Konfederasi Bola Sepak Asia di Vancouver, Kanada.

Beliau berkata Majlis FIFA secara berkesan telah enggan bertindak ke atas isu berkenaan selepas bertahun-tahun perbincangan dilakukan.

“Majlis itu memutuskan untuk tidak membuat sebarang keputusan selepas 15 tahun perbincangan mengenai isu ini,” kata beliau.

Shalabi berkata persatuan itu kini akan meneruskan kes berkenaan di CAS melalui proses undang-undang yang lengkap.

“Satu-satunya tindakan yang kami ada adalah pergi ke CAS dan merayu perkara itu; kami akan melalui keseluruhan proses sehingga kami berjaya mencapai keadilan,” katanya.

Masyarakat antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggap Tebing Barat, termasuk Baitulmuqaddis Timur, sebagai wilayah Palestin yang diduduki dan menyifatkan penempatan Israel di sana sebagai haram di bawah undang-undang antarabangsa.

Pada Mac, Jawatankuasa Tatatertib FIFA mendapati Persatuan Bola Sepak Israel (IFA) bersalah atas pelbagai pelanggaran diskriminasi yang "serius dan sistemik", namun tidak mengenakan sekatan besar.

Jawatankuasa itu menyatakan bahawa FIFA gagal bertindak terhadap perkauman, bertolak ansur dengan mesej berunsur politik dan ketenteraan, serta membenarkan penyisihan warga Palestin daripada infrastruktur bola sepak di penempatan di Tebing Barat yang diduduki. Ia menyifatkan perbuatan itu sebagai "subahat institusi" dalam sistem pengasingan.

Jawatankuasa itu juga enggan meneruskan permintaan PFA untuk menyekat kelab-kelab Israel yang berpangkalan di wilayah yang diduduki daripada menyertai pertandingan antarabangsa, dengan menyatakan bahawa perkara berkenaan di luar bidang kuasanya.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video