Skip to main content

Malaysia

Selangor kecam keras serangan terhadap kapal GSF 2.0 - MB

AMIRUDIN SHARI
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Menteri Penaung misi itu berkata tindakan berulang kali melanggar undang-undang perairan antarabangsa dalam memintas kapal serta menculik aktivis kemanusiaan berhampiran Pulau Crete di Greece menunjukkan sikap tidak peduli rejim Zionis. - Gambar fail/BERNAMA

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor mengecam sekeras-kerasnya serangan, halangan dan penahanan rejim Zionis Israel terhadap aktivis-aktivis Misi Global Sumud Flotilla 2.0 yang cuba menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Menteri Penaung misi itu berkata tindakan berulang kali melanggar undang-undang perairan antarabangsa dalam memintas kapal serta menculik aktivis kemanusiaan berhampiran Pulau Crete di Greece menunjukkan sikap tidak peduli rejim Zionis.

“Kelompok ini telah sekian lama membuktikan bahawa mereka berhasrat meneruskan genosid terhadap rakyat Palestin sama ada dalam bentuk serangan, pengeboman atau pun penghentian bantuan kemanusiaan.

“Sikap lanun pembunuh ini turut memangsakan penduduk di rantau Asia Barat, termasuk rakyat Lebanon yang diusir dari tanah sendiri, atau penduduk di Iran yang menjadi mangsa pembunuhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, Amirudin menggesa kecaman dan ikhtiar yang mencakupi semua aspek untuk meningkatkan tekanan terhadap rejim Zionis daripada semua pihak. 

“Saya akan menghubungi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan agar keselamatan aktivis Malaysia yang menjadi mangsa serangan serta penahanan ini dapat dijamin dan dibebaskan,” katanya.

Terdahulu, Sumud Nusantara Command Center (SNCC) mengesahkan enam daripada 22 kapal yang dipintas dan diceroboh tentera rejim Israel di perairan antarabangsa ketika menuju ke Gaza, melibatkan 10 rakyat Malaysia.

GSF 2.0 menghimpunkan gabungan antarabangsa dari seluruh dunia, menggabungkan usaha maritim dengan gerakan mobilisasi global di darat termasuk advokasi undang-undang serta kempen solidariti di pelbagai negara yang komited untuk memecahkan sekatan ke atas Gaza.

Sebelum ini Pejabat Menteri Besar Selangor memaklumkan Amirudin mengetuai misi tersebut bagi mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan pelepasan kontena bantuan kemanusiaan itu berjalan dengan selamat.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video