BROWNSVILLE: Usahawan teknologi Elon Musk mengumumkan bahawa syarikat kecerdasan buatan xAI dibubarkan sebagai entiti berasingan dan diserap sepenuhnya ke dalam SpaceX, dengan semua operasi AI kini bernaung di bawah penjenamaan baharu, SpaceXAI.
Langkah itu menyusul pengambilalihan xAI oleh SpaceX pada Februari lalu, sekali gus menyatukan pembangunan kecerdasan buatan, infrastruktur aeroangkasa serta platform digital milik Musk dalam satu ekosistem bersepadu, lapor Amanz.
Platform media sosial X, yang sebelum ini diambil alih oleh xAI pada 2025, turut berada di bawah struktur baharu tersebut.
Penjenamaan semula itu selari dengan visi Musk untuk mengintegrasikan teknologi AI dengan keupayaan pelancaran dan satelit SpaceX, termasuk rancangan membangunkan pusat data di angkasa lepas bagi menampung permintaan pemprosesan data yang semakin meningkat.
Sejurus pengumuman itu, SpaceXAI memeterai perjanjian dengan syarikat AI, Anthropic, bagi membekalkan kapasiti pemprosesan melalui pusat data Colossus 1 di Memphis, Amerika Syarikat, yang menempatkan lebih 220,000 unit pemproses grafik berprestasi tinggi.
Selain itu, SpaceXAI turut menjalin kerjasama teknologi dengan syarikat pengekodan AI, Cursor, termasuk opsyen pemerolehan, serta terlibat dalam inisiatif pembuatan cip berskala besar dikenali sebagai TeraFab, projek infrastruktur semikonduktor yang menyokong keperluan AI, aeroangkasa dan automasi.
Penyatuan xAI ke dalam SpaceX dilihat sebagai langkah strategik untuk memanfaatkan kepakaran kejuruteraan aeroangkasa dalam membangunkan infrastruktur AI yang lebih berdaya tahan.
Musk sebelum ini menegaskan bahawa masa depan AI bukan hanya bergantung kepada sistem di bumi, malah memerlukan penyelesaian berasaskan satelit bagi memastikan capaian, keselamatan dan kelestarian tenaga jangka panjang.