Skip to main content

Malaysia

Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan Selamat Hari Ibu

YANG DI-PERTUAN AGONG DAN RAJA PERMAISURI AGONG ZAHIR UCAPAN SELAMAT HARI IBU -- FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Sultan Ibrahim bertitah ibu adalah guru pertama, pelindung dan pembentuk karakter manusia yang bakal mencorak masa depan bangsa. - Foto Facebook/Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah hari ini menzahirkan ucapan Selamat Hari Ibu kepada semua wanita yang bergelar ibu di seluruh negara.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan mendalam buat Raja Permaisuri Agong atas ketulusan dan dedikasi membesarkan anakanda-anakanda dengan limpahan kasih sayang.

Sultan Ibrahim bertitah ibu adalah guru pertama, pelindung dan pembentuk karakter manusia yang bakal mencorak masa depan bangsa.

“Seorang ibu memegang pelbagai peranan dalam membentuk jati diri manusia. Daripada mereka, kita belajar tentang nilai ihsan, ketabahan dan erti pengorbanan,” titah Seri Paduka Baginda seperti yang dimuat naik dalam hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Sultan Ibrahim turut mengingatkan bahawa sebagaimana yang dituntut dalam agama, berbakti kepada ibu ialah kunci kepada keberkatan hidup dunia dan akhirat.

Seri Paduka Baginda berdua pada masa sama menyeru rakyat agar terus mendoakan kesejahteraan ibu yang telah meninggal dunia.

“Semoga Allah SWT sentiasa merahmati Almarhumah bonda, Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah dan Almarhumah Raja Perempuan Muzwin. Al-Fatihah,” titah Seri Paduka Baginda.

Hari Ibu disambut di seluruh dunia pada Ahad kedua bulan Mei setiap tahun.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video