Skip to main content

Malaysia

Budaya keselamatan, amalan OSH di sekolah perlu diperkasa - Lee Lam Thye

51714708194_sekolah.jpg
Lam Thye berkata pengawal trafik perlu ditempatkan untuk mengiringi dan memastikan keselamatan pelajar ketika waktu tiba dan pulang sekolah. - Gambar hiasan/BERNAMA

KUALA LUMPUR: Budaya keselamatan serta amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) di sekolah seluruh negara perlu diperkukuh bagi memastikan institusi pendidikan terus menjadi tempat yang selamat untuk kanak-kanak, kata aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata insiden berlaku melibatkan pelajar di sekolah sejak kebelakangan ini telah menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan ibu bapa, pendidik dan masyarakat.

“Sekolah sepatutnya menjadi tempat untuk kanak-kanak belajar, membesar dan berkembang dalam persekitaran yang selamat serta terlindung. Sebarang insiden yang mengancam keselamatan dan kesejahteraan pelajar perlu dipandang serius dan ditangani segera,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Lee berkata setiap sekolah perlu mewujudkan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) yang terdiri daripada pentadbir, guru, staf dan jika sesuai, wakil ibu bapa untuk mengenal pasti bahaya, menjalankan penilaian risiko secara berkala, memantau pematuhan serta mencadangkan penambahbaikan terhadap piawaian keselamatan di kawasan sekolah.

Beliau turut menyambut baik langkah Kementerian Pendidikan untuk memuktamadkan garis panduan baharu yang bertujuan memperkukuh keselamatan sekolah di seluruh negara, di samping menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai tepat pada masanya.

Dengan merujuk kepada kejadian terbaru melibatkan sebuah van yang melanggar seorang murid tahun dua di pintu pagar sekolah, beliau berkata insiden itu perlu menjadi peringatan kepada semua pihak dan menekankan keperluan untuk menilai semula secara menyeluruh garis panduan keselamatan sekolah sedia ada, protokol serta mekanisme penguatkuasaan.

Beliau berkata perhatian segera perlu diberikan kepada pengurusan trafik dalam kawasan sekolah, keselamatan pejalan kaki di pintu pagar sekolah, prosedur tindak balas kecemasan, keselamatan kebakaran, penyelenggaraan bangunan, keselamatan elektrik, keselamatan sukan dan taman permainan, keselamatan makmal, kebersihan makananvserta sistem sokongan kesihatan mental untuk pelajar dan guru.

Audit keselamatan secara berkala juga, katanya perlu dilaksanakan di semua sekolah manakala pengawal trafik perlu ditempatkan untuk mengiringi dan memastikan keselamatan pelajar ketika waktu tiba dan pulang sekolah.

“Keselamatan anak-anak kita tidak boleh sesekali dikompromi. Tindakan pencegahan adalah sentiasa lebih baik daripada menangani tragedi selepas berlaku.

“Setiap kanak-kanak berhak belajar dalam persekitaran yang selamat dan setiap ibu bapa juga berhak menghantar anak-anak mereka ke sekolah dengan hati yang tenang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video