Skip to main content

Malaysia

Musyawarah Nasional: ‘Type M, C dan I’ bukan lagi gurauan, tetapi bahasa kemarahan tersirat – Ahmad Zahid

Ahmad Zahid Hamidi di Musyawarah Nasional
Ahmad Zahid menyampaikan ucapan perasmian pada Musyawarah Nasional, di sini, hari ini. - Gambar/ Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Penggunaan istilah Type M (Melayu), Type C (Cina) dan Type I (India) yang semakin berleluasa di media sosial bukan lagi sekadar gurauan, sebaliknya telah berubah menjadi sindiran dan prasangka antara kaum yang mencerminkan kemarahan tersirat dalam masyarakat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, fenomena tersebut menunjukkan bahawa perpaduan nasional yang sekian lama dipupuk kini semakin teruji.

Sehubungan itu, beliau berkata Musyawarah Nasional mencadangkan supaya kerangka perundangan serta garis panduan perpaduan negara diperkukuh bagi memastikan setiap dasar, program dan penganjuran awam menghormati sensitiviti agama, budaya dan bahasa.

“Keresahan ini bukan kebencian terhadap kaum lain, tetapi kebimbangan apabila sensitiviti agama, budaya, bahasa dan sosial masyarakat Melayu-Islam semakin dipandang ringan.

“Perpaduan tidak runtuh secara mendadak, sebaliknya terhakis apabila asas yang menyatukan rakyat mula diremehkan,” katanya.

Ahmad Zahid turut menegaskan keperluan usaha menyeluruh untuk menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu, memperkukuh literasi budaya serta memastikan perpaduan dipelihara bukan sekadar melalui slogan, tetapi disokong oleh dasar, adab dan undang-undang.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Musyawarah Nasional, di sini, hari ini.

Musyawarah Nasional ialah sebuah platform yang menghimpunkan pemimpin politik, cendekiawan, pemimpin masyarakat serta agensi kerajaan bagi mengupas keresahan Melayu-Islam dan merumuskan penyelesaian jangka panjang.

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid menggariskan lima teras utama perbincangan, merangkumi pemeliharaan agama dan institusi Raja-Raja Melayu, ekonomi dan pemilikan, pendidikan serta bakat masa depan, medan sosial, budaya, bahasa dan perpaduan nasional, serta politik dan kestabilan kuasa Melayu.

Menyentuh soal ekonomi, beliau berkata keresahan ekonomi orang Melayu berpunca daripada realiti bahawa meskipun ramai terlibat sebagai pengguna dan tenaga kerja, penguasaan pemilikan serta rantaian nilai ekonomi masih lemah.

Keadaan tersebut, katanya, diburukkan dengan peningkatan kos sara hidup, kesukaran memiliki rumah, skala usahawan Melayu yang kekal kecil, sasaran ekuiti Bumiputera yang belum dicapai serta tekanan gentrifikasi terhadap masyarakat Melayu bandar.

“Cabaran ini tidak lagi boleh ditangani dengan bantuan atau subsidi semata-mata. Ia menuntut agenda lebih menyeluruh yang melibatkan pemilikan aset, penguasaan pasaran, rantaian bekalan dan akses kepada ekonomi masa depan,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata inisiatif PuTERA35 dicadangkan sebagai panduan strategik utama dengan hala tuju yang lebih jelas.

“Matlamatnya bukan sekadar menyertai ekonomi, tetapi memiliki ekonomi; bukan hanya berniaga, tetapi membina industri; dan bukan sekadar merebut peluang, sebaliknya menguasai rantaian nilai secara menyeluruh,” katanya

Must Watch Video