CUPERTINO: Apple dan Intel dilapor telah mencapai perjanjian awal bagi membolehkan Intel mengeluarkan sebahagian cip pemprosesan rekaan Apple, dalam usaha mempelbagaikan rantaian bekalan syarikat teknologi itu pada masa hadapan, lapor Amanz.
Laporan mengenai kerjasama tersebut muncul selepas rundingan intensif selama lebih setahun di antara kedua-dua pihak, ketika Apple berusaha mengurangkan kebergantungan kepada pengilang utama sedia ada, Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC).
Menerusi perjanjian berkenaan, Intel dijangka bertindak sebagai pengilang kontrak dengan menggunakan kemudahan foundry miliknya di Amerika Syarikat untuk menghasilkan cip Apple Silicon, bermula dengan cip M‑series peringkat rendah bagi komputer riba MacBook dan tablet iPad.
Sumber industri memaklumkan pengeluaran komersial dijangka bermula seawal 2027, sekali gus menandakan kembalinya Intel ke rantaian bekalan Apple, selepas syarikat itu beralih sepenuhnya kepada cip binaan sendiri sejak 2020.
Produksi cip untuk peranti iPhone pula dikatakan masih dalam penilaian dan belum dimuktamadkan.
Apple turut dilapor mengadakan perbincangan eksploratori dengan Samsung Electronics sebagai pilihan alternatif pengilang dalam jangka masa panjang.
Setakat ini, Apple dan Intel masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi bagi mengesahkan butiran perjanjian tersebut.
Namun, penganalisis menyifatkan langkah itu sebagai anjakan penting dalam landskap semikonduktor global, khususnya bagi memperkukuh kestabilan rantaian bekalan Apple di tengah permintaan cip berprestasi tinggi yang semakin meningkat.