Skip to main content

Malaysia

[TERKINI] GSF 2.0: 175 Aktivis termasuk 10 rakyat Malaysia dijangka dibebas, status rasmi masih ditunggu

 GSF 2.0
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby bercakap pada sidang media khas SNCC di Wisma MAPIM, di sini hari ini. - Foto Noor Waffy Azmi

BANGI: Status kesemua 175 aktivis kemanusiaan termasuk 10 rakyat Malaysia yang ditahan oleh rejim Israel dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 masih belum diterima secara rasmi selepas 38 jam penahanan mereka.

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby, berkata setakat ini pihaknya sedang meneliti maklumat awal bahawa semua aktivis berkenaan dijangka dibebaskan pada pukul 7 pagi waktu Greece (12 tengah hari waktu Malaysia) dan dibawa ke Pelabuhan Lerapetra, Greece.

Bagaimanapun, katanya status terkini masih belum dapat disahkan melalui saluran rasmi dan juga kumpulan lapangan.

“Setakat ini, 21 bot disahkan daripada keseluruhan 22 bot, dengan satu daripadanya dipercayai telah disabotaj dan terputus hubungan. Terdapat juga kapal yang dihantar dari Greece untuk meninjau keadaan.

“Kita memahami kemungkinan Israel melakukan sabotaj yang sama terhadap kapal-kapal yang ditinggalkan. Namun, kita tidak membuat kesimpulan bahawa kapal-kapal tersebut akan disita.

“Di pelabuhan Greece, keseluruhan bot kini dilaporkan selamat dan sedang berlindung di perairan negara itu,” katanya pada sidang media khas SNCC di Wisma MAPIM, di sini hari ini.

Setakat 7 malam Khamis, SNCC mengesahkan 21 kapal misi GSF 2.0 yang membawa 175 aktivis dan sukarelawan dari seluruh dunia ke Gaza telah ditahan dan diculik tentera Israel.

Enam daripada kapal yang diceroboh di perairan antarabangsa berhampiran Greece itu melibatkan 10 rakyat Malaysia.

Mengulas lanjut, Sani Araby berkata pada peringkat awal, pihaknya menjangkakan semua aktivis misi GSF 2.0 yang ditahan oleh rejim Israel akan dipindahkan ke kapal laut sebelum dibawa ke daratan Israel.

Bagaimanapun, ujar beliau, terdapat perkembangan maklumat baharu melalui kedutaan-kedutaan negara Eropah yang memaklumkan wujud tekanan besar-besaran daripada beberapa negara, khususnya Sepanyol dan Itali serta negara Eropah lain terhadap Israel.

Katanya, tekanan itu bukan sahaja dalam bentuk desakan diplomatik, malah turut melibatkan amaran berkaitan penggunaan pelabuhan-pelabuhan di Eropah yang didakwa memberi kesan langsung kepada Israel.

“Oleh itu, kita ada dua maklumat menanti sehingga hari ini dan kita sudah pun bersedia di pelabuhan termasuk dari konsul dan malawakil sekiranya kesemua rakyat Malaysia dan peserta yang ditahan dibebaskan di Greece," tambahnya.

Ditanya sama ada peserta Malaysia akan meneruskan pelayaran atau sebaliknya, Sani Araby berkata pihaknya mengambil ruang untuk berbincang dan menilai semua keadaan semasa.

Beliau berkata, tindakan yang dilakukan oleh rejim Israel tidak akan sama sekali mematahkan semangat peserta walaupun berdepan cabaran dalam pelaksanaan misi berkenaan.

"Kita masih berpendirian bahawa apa yang dilakukan ini betul, disahkan oleh perundangan serta semua delegasi yang berteduh di Greece masih bersemangat, selain bersedia meneruskan pelayaran termasuk yang menanti di Turkiye," ujarnya.
 

Must Watch Video