GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang melanjutkan tempoh rayuan kes berbangkit membabitkan pelaksanaan semakan cukai tanah baharu sehingga 31 Mei, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Chow berkata keputusan itu dibuat melalui mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri bertarikh 29 April lepas yang bersetuju melanjutkan tempoh rayuan kes berbangkit.
"Saya sekali lagi menyeru pemilik tanah supaya kemukakan semua rayuan dan maklum balas menerusi saluran rasmi iaitu kepada Pejabat Daerah atau Pejabat Tanah dan Galian terdekat untuk sebarang kemusykilan termasuk pengesahan penggunaan hakmilik tanah semasa untuk semakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, MMK turut bersetuju untuk memberi pengecualian denda lewat kepada semua pemilik tanah yang membayar cukai selepas 31 Mei dan pengecualian tersebut akan melibatkan denda lewat cukai tanah, cukai petak dan cukai blok sementara.
Chow berkata kerajaan negeri berharap dengan pengecualian itu akan memberi peluang kepada semua pemilik tanah menjelaskan cukai tanah masing-masing secepat mungkin serta mengelakkan daripada berlaku tunggakan kepada akaun cukai masing-masing menjelang tahun 2027.
"Pendekatan itu adalah bagi membantu semua pemilik tanah menyesuaikan diri dengan perubahan kadar cukai tanah baharu selepas lebih 30 tahun tidak disemak dan juga bagi mengurangkan beban kewangan para pemilik tanah dalam tempoh peralihan ini,” katanya.
Katanya, sehingga 30 April, sebanyak 10,344 maklum balas atau rayuan menerusi borang rasmi meliputi pelbagai aspek diterima oleh semua pejabat daerah di seluruh negeri dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 4,015 kes telah selesai manakala 6,329 kes masih dalam tindakan semua Pejabat Daerah dan Tanah serta Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang.
-- BERNAMA