MENLO PARK: Instagram hari ini memperkenalkan ciri baharu yang membolehkan pengguna menyunting komen yang telah ditinggalkan di platform berkenaan bagi mengelakkan salah faham atau ralat tipografi, lapor Amanz.
Menerusi kemas kini itu, pemilik akaun diberikan tempoh 15 minit untuk melakukan suntingan selepas komen dimuat naik.
Pengguna boleh melakukan suntingan tanpa had dalam tempoh suku jam berkenaan sebelum fungsi tersebut dikunci sepenuhnya.
Meskipun pengguna lain dapat melihat label bahawa sesuatu komen telah disunting, kandungan asal tidak akan dipaparkan kepada umum, berbeza dengan pendekatan di platform X yang membenarkan paparan sejarah suntingan.
Bagaimanapun, fungsi berkenaan hanya terhad kepada teks. Bagi komen yang mengandungi gabungan teks dan imej, pengguna tidak dibenarkan membuang atau menggantikan imej melalui proses suntingan tersebut.
Ciri ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha Meta untuk memberi kawalan lebih besar kepada pengguna dalam mengurus interaksi dalam talian, khususnya ketika meninggalkan komen dalam keadaan emosi atau tergesa-gesa.
Dalam pada itu, pakar media sosial mengingatkan pengguna agar kekal berwaspada memandangkan komen asal masih berpotensi dirakam melalui tangkapan layar oleh pihak lain sebelum sempat disunting.