Skip to main content

Sukan

Azizulhasni belum pasti ke LA 2028, faktor usia dan komitmen jadi pertimbangan

jaguh bebasikal negara , Azizulhasni Awang, Sukan Komanwel,
Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang bercakap kepada media ketika ditemui di Velodrom Nilai pada Jumaat. - Foto Astro AWANI

NILAI: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang masih belum dapat memastikan sama ada akan meneruskan karier hingga ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Beliau berkata, keputusan itu perlu diteliti secara menyeluruh mengambil kira faktor usia, komitmen keluarga serta sokongan kewangan.

Menurut Azizulhasni, meskipun menerima galakan kuat daripada peminat untuk terus berlumba, beliau ketika ini tidak melihat dirinya berada dalam perancangan jangka panjang ke temasya tersebut.

“Selepas kemenangan di Perth, ramai yang meminta saya teruskan, termasuk peminat. Tetapi buat masa ini saya tidak melihat diri saya ke Los Angeles kerana usia saya sudah 38 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Velodram Nilai, pada Jumaat. 

Beliau menjelaskan, cabaran sebagai atlet berusia hampir 40 tahun jauh berbeza berbanding ketika di usia muda, khususnya dari segi pemulihan dan ketahanan fizikal.

“Apabila usia meningkat, proses pemulihan tidak lagi sama seperti ketika muda. Tambahan pula saya mempunyai empat orang anak dan menetap di luar negara tanpa sistem sokongan, jadi banyak perkara perlu dipertimbangkan,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau turut mengakui faktor kewangan memainkan peranan penting dalam menentukan kelangsungan kariernya.

“Sokongan kewangan juga sangat penting kerana ketika ini saya bergantung kepada penaja. Tanpa sokongan itu, agak sukar untuk fokus sepenuhnya kepada latihan dan prestasi,” katanya.

Bagaimanapun, Azizulhasni menegaskan fokus utamanya kini adalah menghadapi Sukan Komanwel, sebelum membuat keputusan lanjut mengenai masa depannya.

“Saya tidak mahu membuat keputusan muktamad sekarang. Fokus saya adalah kepada Sukan Komanwel terlebih dahulu, kemudian kita lihat keadaan selepas itu,” katanya.

Azizulhasni turut mengakui bahawa usia menjadi cabaran besar khususnya dalam acara pecut, namun masih mampu bersaing di peringkat tertinggi dunia.

“Bagi acara pecut, peningkatan usia memberi kesan kepada kekuatan otot, namun saya masih mampu bersaing di tahap tertinggi,” ujarnya.

Beliau tidak menolak kemungkinan untuk meneruskan karier sekiranya keadaan mengizinkan, namun menegaskan segala keputusan bergantung kepada situasi semasa termasuk sokongan yang diterima.

Must Watch Video