Skip to main content

Teknologi

DARPA bangunkan bateri nuklear berkuasa tinggi untuk operasi pertahanan

https://amanz.my/2026560126
Inisiatif itu bertujuan menukarkan radiasi nuklear secara langsung kepada tenaga elektrik pada skala lebih tinggi menerusi teknologi radiovoltaik, khusus untuk kegunaan ketenteraan di medan operasi, lokasi terpencil serta misi angkasa lepas. -Foto Amanz

ARLINGTON: Agensi Projek Penyelidikan Lanjutan Pertahanan (DARPA) Amerika Syarikat sedang membangunkan teknologi bateri nuklear generasi baharu yang disasarkan mampu membekalkan kuasa kepada peranti mudah alih seperti komputer riba untuk tempoh berbulan-bulan tanpa perlu dicas semula, lapor Amanz.

Melalui program dikenali sebagai Rads to Watts, inisiatif itu bertujuan menukarkan radiasi nuklear secara langsung kepada tenaga elektrik pada skala lebih tinggi menerusi teknologi radiovoltaik, khusus untuk kegunaan ketenteraan di medan operasi, lokasi terpencil serta misi angkasa lepas.

DARPA memaklumkan keperluan tersebut timbul susulan keterbatasan sistem bateri konvensional yang memerlukan pengecasan berulang dalam situasi operasi lapangan yang tidak mempunyai akses kepada sumber kuasa.

Program berkenaan menyasarkan pembangunan bateri nuklear dengan ketumpatan kuasa melebihi 10 watt setiap kilogram (W/kg), iaitu hampir empat kali ganda berbanding sistem jana kuasa radioisotop yang digunakan pada rover Perseverance dan Curiosity di Marikh, yang menghasilkan sekitar 2.6 W/kg.

Bagi merealisasikan matlamat tersebut, syarikat teknologi tenaga berpangkalan di Amerika Syarikat, Avalanche Energy, telah dianugerahkan kontrak bernilai AS$5.2 juta (kira-kira RM20.96 juta) untuk membangunkan bateri keadaan pepejal yang mampu menukarkan zarah alfa kepada tenaga elektrik, dikenali sebagai teknologi alphavoltaik.

Walaupun zarah alfa diklasifikasikan sebagai lebih berbahaya kepada manusia jika terdedah secara langsung, pakar menjelaskan ia lebih mudah disekat menggunakan pelindung fizikal berbanding bentuk radiasi lain, sekali gus menjadikannya lebih sesuai untuk aplikasi tertutup dan kompak.

Pembangunan teknologi itu turut berlangsung ketika dunia berdepan ketidaktentuan tenaga global, mendorong perbincangan semula mengenai potensi sumber tenaga nuklear alternatif, termasuk reaktor garam cair berasaskan Thorium yang dianggap lebih selamat berbanding reaktor uranium konvensional.

Sebelum ini, pada 2024, syarikat Betavolt dari China pernah mengumumkan kejayaan membina bateri nuklear bersaiz kecil menggunakan isotop radioaktif Nikel‑63 yang mampu bertahan sehingga 50 tahun, namun hanya membekalkan kuasa rendah sekitar 100 mikrowatt, sekali gus terhad kepada aplikasi tertentu.

Sekiranya projek Rads to Watts ini berjaya, ia dijangka membuka lembaran baharu dalam landskap teknologi kuasa mudah alih, khususnya bagi operasi pertahanan dan angkasa lepas yang memerlukan bekalan tenaga jangka panjang tanpa sokongan infrastruktur konvensional.

Must Watch Video