Skip to main content

Teknologi

Metal Gear Solid kembali ke layar perak selepas sedekad tertangguh

https://amanz.my/2026560230
Naskhah berdasarkan karya ikonik ciptaan Hideo Kojima itu akan diarahkan oleh gandingan Zach Lipovsky dan Adam B. Stein, yang sebelum ini mencuri tumpuan menerusi filem Final Destination: Bloodlines. -Foto Amanz

LOS ANGELES: Sony Pictures secara rasmi mengesahkan projek adaptasi filem aksi nyata daripada francais permainan video popular, Metal Gear Solid, yang akan diterbitkan oleh studio berkenaan, lapor Amanz.

Naskhah berdasarkan karya ikonik ciptaan Hideo Kojima itu akan diarahkan oleh gandingan Zach Lipovsky dan Adam B. Stein, yang sebelum ini mencuri tumpuan menerusi filem Final Destination: Bloodlines.

Pelantikan duo berkenaan dibuat susulan pemeteraian perjanjian ‘first-look’ antara Sony Pictures dengan syarikat produksi milik mereka, Wonderlab.

Projek itu akan diterbitkan oleh Avi Arad dan Ari Arad menerusi Arad Productions untuk label Columbia Pictures, sekali gus menghidupkan semula pembangunan filem berkenaan selepas melalui tempoh penangguhan panjang.

Lipovsky dan Stein menggantikan pengarah asal, Jordan Vogt-Roberts, yang sebelum ini dikaitkan dengan projek tersebut sejak 2015 namun tidak diteruskan.

Sebelum ini, pelakon Oscar Isaac pernah diumumkan bakal memegang watak utama sebagai Solid Snake ketika versi terdahulu projek itu dibangunkan, namun status penglibatannya dalam iterasi terbaharu filem berkenaan masih belum diputuskan.

Setakat ini, Sony Pictures belum mengumumkan barisan pelakon mahupun jadual rasmi penggambaran bagi filem yang dinantikan peminat itu.

Untuk rekod, Metal Gear Solid merupakan antara siri permainan video paling berpengaruh di dunia yang menumpukan elemen intipan dan taktik ketenteraan, sejak siri asal Metal Gear diperkenalkan pada 1987.

Must Watch Video