Skip to main content

Malaysia

Mekanisme SAP bantu penuhi keperluan peranti guna habis di hospital - Dzulkefly

PUTRAJAYA, 10 April -- Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyampaikan ucapan pada pelancaran Sambutan Hari Pendengaran Sedunia 2026 dan Malaysian Pediatric Aural Habilitation Module (MyPAHM) hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pelaksanaan Special Access Pathway (SAP) hanya bersifat sementara dan digunakan dalam keadaan tertentu seperti gangguan rantaian bekalan atau ketika berdepan situasi kecemasan kesihatan. - Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mempercepatkan proses pemerolehan peranti perubatan melalui pelaksanaan mekanisme Special Access Pathway (SAP).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata inisiatif itu dapat membantu menangani kekangan bekalan yang timbul susulan konflik di Asia Barat.

"SAP merupakan satu langkah sementara bagi membolehkan penggunaan peranti yang belum melalui pendaftaran penuh, namun tetap tertakluk kepada penilaian ketat daripada segi kualiti dan keselamatan.

"Pembekal boleh mengemukakan permohonan bagi mempercepatkan proses kelulusan agar peranti perubatan itu dapat digunakan dalam tempoh lebih singkat.

"Pendekatan ini penting bagi memastikan keperluan sistem kesihatan terus dipenuhi, terutamanya melibatkan peranti jenis guna habis seperti sarung tangan, picagari dan barangan asas lain," ujar Dzulkefly.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Sambutan Hari Pendengaran Sedunia, di sini, pada Jumaat.

Tambah Dzulkfely, pelaksanaan SAP hanya bersifat sementara dan digunakan dalam keadaan tertentu seperti gangguan rantaian bekalan atau ketika berdepan situasi kecemasan kesihatan.

KKM memberi jaminan bahawa bekalan ubat dan peranti perubatan akan terus terpelihara melalui pengukuhan stok penimbal, susulan cabaran krisis tenaga global ketika ini.

"Kami akan mempelbagaikan sumber bekalan serta pemantauan berterusan terhadap bahan mentah dan rantaian bekalan bersama pihak industri.

"Ini bagi membolehkan sebarang risiko gangguan dikenal pasti lebih awal dan ditangani secara berkesan," kata Dzulkefly.

Must Watch Video