JENAMA fesyen mewah, Gucci, mengesahkan perancangan untuk menyertai pasaran peranti boleh pakai menerusi pelancaran cermin mata pintar pertamanya yang disasarkan pada 2027, lapor Amanz.
Ketua Pegawai Eksekutif Kering, Luca de Meo berkata, produk berkenaan dibangunkan hasil kerjasama strategik dengan Google dan bakal menggunakan sistem operasi Android XR, iaitu platform realiti lanjutan yang diumumkan Google pada 2024.
Menurut beliau, cermin mata pintar itu dijangka menyokong penggunaan skrin paparan terbina atau kawalan suara, selain berpotensi menawarkan pengalaman antara muka pengguna (UI) serta paparan visual yang lebih baik berbanding peranti sedia ada.
Langkah berkenaan dilihat sebagai usaha Gucci menembusi segmen teknologi pengguna premium, sekali gus mencabar dominasi kerjasama EssilorLuxottica dan Meta yang kini menguasai pasaran cermin mata pintar menerusi jenama Ray-Ban dan Oakley.
Google sebelum ini memaklumkan akan mendedahkan maklumat lanjut mengenai ekosistem Android XR sempena acara Google I/O akan datang, dengan penglibatan rakan pengeluar lain termasuk Samsung serta beberapa jenama cermin mata antarabangsa.
Selain itu, gergasi teknologi itu turut dilaporkan melabur dalam syarikat cermin mata Warby Parker sebagai sebahagian persediaan meluaskan penawaran peranti Android XR pada masa hadapan.
Bagaimanapun, peningkatan penggunaan cermin mata pintar yang dilengkapi kamera mula mencetuskan kebimbangan berkaitan privasi, khususnya berhubung risiko rakaman tanpa pengetahuan atau kebenaran individu lain.
Beberapa institusi pengajian juga dilaporkan mengharamkan penggunaan peranti berkenaan semasa peperiksaan bagi mengelakkan salah laku akademik, manakala di China, terdapat laporan mengenai penyewaan cermin mata pintar bagi tujuan menipu dalam subjek seperti Bahasa Inggeris dan matematik.