Skip to main content

Malaysia

IPR-INTAN jana RM22 juta, manfaat lebih 2,300 usahawan tani

TB_AKMAL NASIR 02_BERNAMA
Akmal berkata, program IPR-INTAN bukan sahaja membolehkan golongan sasar menjana pendapatan tambahan, malah menyumbang kepada usaha kerajaan memastikan jaminan bekalan makanan asas negara kekal stabil.

PUTRAJAYA: Program Inisiatif Pendapatan Rakyat–Usahawan Tani (IPR-INTAN) di bawah Kementerian Ekonomi telah menjana hasil terkumpul kira-kira RM22 juta sejak mula dilaksanakan pada tahun 2023.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata pencapaian tersebut adalah hasil penyertaan lebih 2,300 peserta di bawah program berkenaan, termasuk dalam pengusahaan tanaman seperti cili dan timun.

Beliau berkata, program IPR-INTAN merupakan salah satu segmen di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang memberi tumpuan khusus kepada sektor pertanian bagi membantu meningkatkan pendapatan golongan sasar.

“Sehingga kini, secara keseluruhan program ini telah melahirkan lebih 2,300 peserta, dengan hasil terkumpul yang berjaya dijana mencecah RM22 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat projek IPR-INTAN di Putrajaya, pada Jumaat.

Menurut Akmal Nasrullah, program IPR-INTAN bukan sahaja membolehkan golongan sasar menjana pendapatan tambahan, malah menyumbang kepada usaha kerajaan memastikan jaminan bekalan makanan asas negara kekal stabil, khususnya dalam mendepani cabaran gangguan bekalan susulan krisis tenaga global.

Di Putrajaya, beliau berkata projek IPR-INTAN yang melibatkan tanaman cili secara fertigasi di kawasan seluas 4.04 hektar telah memberi manfaat kepada 20 peserta, dengan purata pendapatan bulanan sekitar RM3,000 bagi setiap peserta.

Beliau turut memaklumkan bahawa bagi tahun ini, kementerian telah bersetuju melaksanakan 20 projek baharu IPR-INTAN yang dijangka memberi manfaat kepada 600 peserta daripada golongan B40, miskin dan miskin tegar.

“Ini termasuk peluasan projek IPR-INTAN di Putrajaya yang akan melibatkan tambahan 20 peserta, menjadikan keseluruhan 40 peserta,” katanya.

Projek IPR-INTAN Putrajaya yang dilaksanakan di atas tanah milik Perbadanan Putrajaya (PPj) itu dikendalikan oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dengan kerjasama Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat (PPKKL).

Projek berkenaan turut mendapat sokongan daripada Nestlé Malaysia, yang membeli sebahagian besar hasil ladang bagi kegunaan produk syarikat tersebut.

Must Watch Video