Skip to main content

Malaysia

Tabung Haji sedia pelan bencana hadapi krisis Asia Barat

Sumber: Astro AWANI
Timbalan Pengarah Gerakan Operasi Tabung Haji (TH), Mohd Norber Kassim, memaklumkan bahawa pihak TH telah bersiap sedia dengan pelan bencana bagi memastikan kelancaran urusan haji, khususnya dalam menghadapi krisis Asia Barat.- Foto/ Astro AWANI

SEPANG: Timbalan Pengarah Gerakan Operasi Tabung Haji (TH), Mohd Norber Kassim, memaklumkan bahawa pihak TH telah bersiap sedia dengan pelan bencana bagi memastikan kelancaran urusan haji, khususnya dalam menghadapi krisis Asia Barat.

Beliau berkata, pelan bencana ini bukanlah sesuatu yang baharu kerana TH telah pun mempunyai prosedur operasi standard (SOP) serta pelan kontinjensi sejak sebelum berlakunya krisis peperangan.

“Tabung Haji sememangnya telah bersiap sedia dengan pelan bencana. Pelan ini, insyaAllah, akan kita sesuaikan dari masa ke semasa berdasarkan keadaan yang berlaku,” katanya.

Mohd Norber berkata demikian kepada pemberita selepas Taklimat Operasi Haji Tanah Air (OHTA) Stesen KLIA di sini pada Rabu.

Mohd Norber turut menekankan bahawa segala usaha ini adalah bagi memastikan jemaah haji dapat menunaikan ibadah dengan lancar dan selamat.

“Kita doakan semoga semua urusan haji ini dapat berjalan dengan lancar sebagaimana yang telah dirancang, insya-Allah,” katanya.

Mengulas lanjut, kesiapsiagaan Tabung Haji (TH) untuk musim haji 1447H/2026M kini sudah mencapai 100 peratus.

Mohd Norber berkata, kesiapsiagaan pihaknya merangkumi semua aspek iaitu penerbangan, penginapan, pengurusan aktiviti dan logistik melibatkan lapan stesen operasi seluruh negara.

Tambah Mohd Norber, TH telah memulakan persiapan sejak tahun lepas bagi memastikan kelancaran seramai 31,600 jemaah pada musim haji kali ini.

Menurut beliau, OHTA Fasa 1 bermula 17 April iaitu sehari sebelum jemaah kumpulan pertama berlepas ke tanah suci manakala OHTA Fasa 2 bermula 3 Jun hingga 1 Julai 2026.

"Seramai 284 jemaah bakal berlepas ke Mekah, 18 April ini. Proses pemeriksaan masuk atau lapor diri akan bermula 17 April iaitu pada pukul 10 malam,” katanya.

Must Watch Video