KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju melaksanakan pengenaan surcaj bahan bakar bunker secara bersasar bagi perkhidmatan feri penumpang dan feri roll-on roll-off (RORO) berkuat kuasa 20 April ini sebagai langkah sementara menangani peningkatan kos operasi akibat ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan langkah itu diambil susulan cabaran yang dihadapi pengendali bagi memastikan operasi kekal mampan, cekap dan berdaya tahan demi kepentingan rakyat.
Menurut kenyataan itu, pelaksanaan surcaj berkenaan menggunakan pendekatan pass-through cost secara terhad, iaitu hanya sebahagian kecil kenaikan kos bahan api dipindahkan kepada pengguna, manakala selebihnya ditanggung melalui subsidi kerajaan, peningkatan kecekapan operasi serta pengurusan kos dalaman oleh pengendali.
"Surcaj ini disasarkan kepada pengguna awam dan pelancong, termasuk pelancong tempatan dan antarabangsa, manakala penduduk setempat serta pengguna harian dikecualikan daripada pengenaan ini," kata MOT dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut MOT, kadar surcaj ditetapkan secara berperingkat berdasarkan julat harga bahan api dengan kadar maksimum dihadkan pada 18 peratus.
Struktur kadar tersebut menetapkan tiada surcaj dikenakan bagi harga minyak sehingga RM4.00 seliter, manakala kadar surcaj ditetapkan pada lima peratus bagi harga minyak antara RM4.01 hingga RM5.00 seliter, kata MOT lagi.
"Untuk julat RM5.01 hingga RM6.00 seliter, kadar surcaj adalah lapan peratus. Bagi harga RM6.01 hingga RM7.00 seliter, kadar surcaj ditetapkan pada 12 peratus.
"Sementara itu, bagi RM7.01 hingga RM8.00 seliter, kadar surcaj adalah 15 peritus," jelas MOT.
MOT menambah kadar surcaj itu akan disemak secara bulanan bagi memastikan ia kekal relevan dengan perubahan harga minyak, kedudukan subsidi kerajaan serta impak kepada pengguna.
Katanya lagi, sebarang pelarasan akan dilaksanakan secara berhati-hati dan berasaskan data semasa, termasuk pilihan untuk mengurangkan atau memansuhkan surcaj apabila keadaan mengizinkan.
Kementerian itu turut menegaskan bahawa surcaj berkenaan bukan bertujuan meningkatkan keuntungan pengendali, sebaliknya bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan feri tanpa gangguan.
"Langkah itu juga bertujuan memastikan kebolehcapaian pengangkutan maritim terus terpelihara, komuniti pulau tidak terjejas serta kos sara hidup rakyat terus dilindungi," jelas MOT.