Skip to main content

Teknologi

Google perkenal had akses Gemini, pengguna perlu beralih ke pelan berbayar

Google Kini Memperkenalkan Had Akses Dalam Penggunaan Gemini
Walaupun Google tidak mendedahkan jumlah kuota tetap, sistem Gemini akan mengemas kini baki penggunaan secara berkala setiap lima jam sehingga pengguna mencapai had maksimum mingguan. -Foto Amanz

GOOGLE mula memperkenalkan had akses bagi penggunaan model kecerdasan buatan (AI) Gemini susulan peningkatan ketara jumlah pengguna di seluruh dunia.

Langkah itu sekali gus menamatkan akses percuma tanpa had yang sebelum ini ditawarkan kepada pengguna platform berkenaan, lapor Amanz.

Walaupun Google tidak mendedahkan jumlah kuota tetap, sistem Gemini akan mengemas kini baki penggunaan secara berkala setiap lima jam sehingga pengguna mencapai had maksimum mingguan.

Penggunaan kuota ditentukan berdasarkan tahap kerumitan arahan yang diberikan serta jenis output yang dihasilkan.

Ciri berintensiti tinggi seperti penjanaan imej dan fungsi penaakulan lanjutan (reasoning) menggunakan kuota lebih besar.

Bagi mengatasi kekangan itu, Google turut memperkenalkan struktur kuota bertingkat menerusi pelan langganan berbayar.

Pengguna pelan Google One AI Premium ditawarkan kuota lebih tinggi berbanding pengguna percuma. Antara pelan yang ditawarkan termasuk AI Plus dengan kuota dua kali ganda, AI Pro (empat kali ganda) serta AI Ultra yang menyediakan sehingga 20 kali ganda had penggunaan.

Langkah tersebut dilihat bertujuan memastikan kestabilan infrastruktur pelayan susulan peningkatan trafik penggunaan.

Pada masa sama, pendekatan itu turut menggalakkan pengguna beralih kepada pelan berbayar, sekali gus meningkatkan pendapatan langganan bagi produk AI Google.

Must Watch Video

Advertisement