Skip to main content

Malaysia

Letupan gas Putra Heights: Selangor sedia terbit laporan, tunggu maklum balas Persekutuan - Amirudin

AMIRUDIN SHARI
Amirudin (foto) berkata laporan berkenaan sebenarnya telah lengkap, tetapi proses penerbitannya memerlukan penelitian lanjut khususnya melibatkan pihak berkuasa Persekutuan. -Gambar fail/Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor bersedia mengeluarkan laporan penuh berhubung insiden letupan saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya, namun masih menunggu maklum balas daripada Kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, laporan itu telah lengkap tetapi penerbitannya memerlukan penelitian lanjut kerana melibatkan agensi Persekutuan.

“Laporan penuh sudah ada. Kita sedang menunggu laporan daripada Kerajaan Persekutuan kerana ia melibatkan agensi berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dan Program Didik Kasih, di sini, pada Jumaat.

Amirudin menegaskan kerajaan negeri tidak mempunyai halangan untuk mendedahkan laporan itu kepada umum.

“Negeri tak ada masalah, saya memang akan mengesyorkan untuk ia diterbitkan,” katanya.

Tambahnya, laporan tersebut disediakan oleh jawatankuasa bebas yang turut melibatkan wakil pembangkang serta pakar dalam bidang berkaitan.

“Laporan ini terdiri daripada laporan jawatankuasa bebas yang mana ada dua wakil yang dipilih oleh pihak pembangkang termasuk pakar-pakar,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau berkata beberapa perkara perlu dipertimbangkan sebelum laporan itu didedahkan, termasuk implikasi terhadap prosiding undang-undang yang sedang berjalan.

Menurutnya, terdapat kes saman difailkan oleh penduduk Putra Heights terhadap beberapa pihak berkaitan insiden itu.

"Cuma ada kes yang sedang berjalan melibatkan saman yang dikemukakan oleh penduduk Putra Heights kepada beberapa pihak.

"Jadi apakah pengeluaran laporan itu akan mengganggu proses saman itu, itu juga saya akan merujuk kepada pejabat peguam dan sebagainya,” katanya.

Sehubungan itu, Amirudin berkata kerajaan negeri akan mendapatkan pandangan perundangan sebelum membuat keputusan muktamad.

“Tetapi pendirian negeri, kita bersedia untuk mengeluarkannya,” katanya lagi.

Astro AWANI pada Ahad melaporkan penduduk Kampung Kuala Sungai Baru bertegas akan meneruskan tindakan undang-undang sekiranya laporan penuh siasatan insiden itu tidak didedahkan.

Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Penduduk kawasan berkenaan, Mohd Badly Nordin, berkata pihaknya telah menunggu sejak jawatankuasa bebas ditubuhkan pada September tahun lalu namun masih belum menerima laporan rasmi.

Must Watch Video

Advertisement