KUALA LUMPUR: Kira-kira 50 peserta terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam menyertai himpunan ‘Selamatkan Gajah Kita Dara, Amoi dan Kelat (DAK)’ sebagai tanda solidariti menuntut tiga ekor gajah itu dibawa pulang ke tanah air.
Himpunan yang berlangsung di hadapan Kedutaan Jepun itu turut menyaksikan penyerahan memorandum kepada pihak kedutaan.
Memorandum berkenaan diserahkan oleh Presiden Kebangsaan Pertubuhan Nambikkai Malaysia Datuk Kalai Vanar.
Beliau berkata himpunan itu diadakan atas dasar kemanusiaan dan kasih terhadap haiwan tanpa melibatkan sebarang unsur politik.
“Kami hadir bersama-sama berganding bahu demi memastikan suara rakyat didengari. Kami juga sudah menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri sendiri.
“Saya percaya isu ini tidak akan menjejaskan hubungan baik antara Malaysia dan Jepun.
“Habitat asal gajah Malaysia sangat berbeza dengan keadaan di Jepun. Apa yang kami mahu hanyalah supaya Dara, Amoi dan Kelat dipulangkan semula kerana mereka merupakan aset serta khazanah negara,” katanya.
Sementara itu, aktivis Heart of Hope Norlia Samsi mendakwa tiga gajah berkenaan sebelum ini ditempatkan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, bukannya di Zoo Taiping.
Beliau mendakwa pemindahan haiwan daripada pusat konservasi ke zoo tidak selari dengan garis panduan pengurusan haiwan.
Pada Rabu lalu, Majlis Perbandaran Taiping (MPT) memaklumkan dakwaan berhubung kebajikan gajah di Zoo Tennoji, Jepun perlu disokong bukti sebelum sebarang tindakan termasuk penamatan kerjasama atau proses membawa pulang haiwan itu dipertimbangkan.
Tiga anak gajah iaitu Dara, Amoi dan Kelat kini ditempatkan di Zoo Tennoji menerusi perjanjian kerjasama selama 25 tahun antara zoo berkenaan dan Zoo Taiping & Night Safari yang diwakili MPT.