KUALA LUMPUR: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia berjumlah AS$129.5 bilion setakat 15 Mei, 2026.
Dalam satu kenyataan hari ini, bank pusat itu berkata kedudukan rizab berkenaan mencukupi untuk membiayai 4.6 bulan import barangan dan perkhidmatan serta 0.9 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.
BNM berkata rizab antarabangsa kasar itu terdiri daripada rizab mata wang asing sebanyak AS$113.5 bilion, kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebanyak AS$1.3 bilion, hak pengeluaran khas (SDR) berjumlah AS$5.9 bilion, emas sebanyak AS$6.4 bilion dan aset rizab lain berjumlah US$2.4 bilion.
Sementara itu, bank pusat itu berkata jumlah asetnya bernilai RM610.32 bilion, yang sebahagian besarnya terdiri daripada emas, aset kewangan asing dan rizab lain termasuk SDR (RM522.55 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM13.10 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM1.097 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM28.92 bilion), hartanah dan peralatan (RM4.55 bilion) serta aset lain (RM40.10 bilion).
BNM berkata modal dan liabiliti pula berjumlah RM610.32 bilion, terdiri daripada modal RM100 juta, rizab (RM196.22 bilion), mata wang dalam edaran (RM183.66 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM112.58 bilion), deposit kerajaan Persekutuan (RM9.52 bilion) dan deposit lain (RM70.51 bilion).
Jumlah itu termasuk kertas Bank Negara sebanyak RM7.59 bilion, peruntukan SDR (RM26.38 bilion) dan liabiliti lain (RM3.76 bilion).
-- BERNAMA