Skip to main content

Malaysia

Bubar DUN hak mutlak Sultan Johor - Mohamad

SEREMBAN, 9 April -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menjawab pertanyaan wartawan semasa sidang media pada majlis perasmian serentak Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah, Sekolah Rendah, serta Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, di Dewan Orang Ramai Rantau, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mohamad (foto) berkata parti itu yakin bahawa Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi akan memberikan nasihat kepada Sultan Ibrahim yang merupakan Sultan Johor berhubung masa yang sesuai untuk PRN diadakan. -Gambar fail/Bernama

SEREMBAN: Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan adalah hak mutlak Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, kata Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata parti itu yakin bahawa Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi akan memberikan nasihat kepada Sultan Ibrahim yang merupakan Sultan Johor berhubung masa yang sesuai untuk PRN diadakan.

“Boleh jadi masa terdekat, boleh jadi lambat (PRN), itu terpulang kepada budi bicara menteri besar. Bagaimanapun, setakat ini masih belum ada sebarang perbincangan rasmi di peringkat ibu pejabat parti mahupun kepimpinan pusat.

“Saya yakin apabila menteri besar dapat lampu hijau atau restu, beliau akan datang berunding dengan peringkat pusat supaya dapat bersama-sama merancang untuk diadakan pilihan raya di kawasan ataupun negeri itu nanti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Olahraga Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Sendayan, di sini, hari ini.

Pada 16 Mei lepas, Onn Hafiz yang juga Pengerusi BN Johor mengumumkan akan bertanding di semua 56 kerusi DUN pada PRN akan datang.

Pada PRN 2022, BN memenangi 40 kerusi DUN manakala Pakatan Harapan (PH-12), Perikatan Nasional (3) dan MUDA (1). 

Dalam pada itu, Timbalan Presiden UMNO itu turut mengingatkan semua pihak supaya mengendalikan sebarang kemelut politik secara matang dan berhemah bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

“Kita tidak mahu rakyat rasa tidak tenteram. Apa sahaja keputusan atau tindakan mesti dilakukan dengan baik kerana tujuan kita menjadi kerajaan adalah untuk membantu rakyat, bukannya menyusahkan mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau dan ADUN Rantau berkata kerajaan telah meluluskan pembinaan dua lagi sekolah baharu di Bandar Sri Sendayan bagi mengatasi masalah kesesakan pelajar di kawasan berkenaan.

Beliau berkata projek melibatkan sebuah sekolah menengah dan rendah itu telah memasuki peringkat tender dengan kos keseluruhan kira-kira RM135 juta.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement