Skip to main content

Malaysia

Lelaki maut ditembak depan pusat hiburan di Johor

Seorang lelaki dilaporkan maut dalam satu kejadian tembak di Taman Industri Jaya, di sini, pada malam Sabtu_SINAR HARIAN
Seorang lelaki dilaporkan maut dalam satu kejadian tembak di Taman Industri Jaya, di sini, pada malam Sabtu. - Gambar/ Media sosial/ Sinar Harian

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki tempatan maut ditembak di hadapan sebuah premis pusat hiburan di Taman Industri Jaya, Skudai, dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M. Kumarasan berkata pihaknya menerima maklumat kejadian kira-kira 11 malam daripada seorang wanita tempatan berusia 27 tahun.

Beliau berkata mangsa yang juga 27 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tembakan itu.

“Kejadian juga menyebabkan seorang lagi lelaki tempatan 27 tahun cedera akibat terkena tembakan.

“Polis mempercayai terdapat seorang lagi mangsa cedera, namun telah dibawa keluar oleh kenalannya selepas kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumarasan berkata polis kini memburu dua suspek dipercayai terlibat dalam kejadian itu dan meminta mangsa yang cedera tampil membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat kanan ASP Afiq Izani menerusi talian 019-3683036 atau Pusat Kawalan Daerah Iskandar Puteri 07-5113622 atau hotline 07-5114486.

-- BERNAMA


 

Must Watch Video