KUALA LUMPUR: Sebanyak 47,000 pasangan yang berhasrat menimang cahaya mata dijangka menerima manfaat daripada Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI) yang diperkenalkan kerajaan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, inisiatif di bawah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu memfokuskan kepada pembiayaan rawatan permanian beradas (IUI) bagi pasangan yang layak.
Beliau berkata, dengan slogan Lebih Awal, Lebih Baik, program tersebut merupakan manifestasi komitmen kementerian dalam memperkukuh akses kepada perkhidmatan kesuburan yang berkualiti serta berpatutan di negara ini.
"Sehingga kini, lebih 373,000 kes subfertiliti telah dikendalikan dengan 6,513 kehamilan berjaya direalisasikan.
“Setiap satu daripadanya membawa kisah harapan yang menjadi kenyataan serta air mata yang membawa bahagia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Ahad.
Majlis itu disempurnakan oleh Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Mengulas lanjut, Nancy memaklumkan bahawa pembangunan Data Registri Subfertiliti Kebangsaan akan bermula tahun ini sebagai langkah awal menyokong penubuhan Pusat Subfertiliti Negara (PSN) di Shah Alam, Selangor.
Pusat rawatan khusus itu dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada tahun 2030.
"Pembangunan data registri ini amat kritikal bagi membolehkan kerajaan merancang, memantau dan meningkatkan kualiti perkhidmatan kesuburan secara lebih bersepadu serta berkesan pada masa hadapan," tambah beliau.
Program BuAI diwujudkan bagi menangani isu penurunan kadar kesuburan dalam kalangan rakyat Malaysia, selain memberi sokongan moral dan klinikal kepada pasangan yang menghadapi cabaran untuk mendapatkan zuriat.