SAN FRANCISCO: Anthropic secara rasmi mengemas kini dasar langganan Claude dengan menamatkan penggunaan had langganan bagi alat pihak ketiga seperti OpenClaw, berkuat kuasa hari ini, lapor Amanz.
Sekatan itu mula dikuatkuasakan pada jam 4 pagi waktu Malaysia, selaras pengumuman Ketua Claude Code di Anthropic, Boris Cherny, menerusi hantaran di platform X.
Langkah berkenaan diambil susulan lonjakan permintaan yang tinggi daripada penggunaan OpenClaw, khususnya bagi automasi ejen kecerdasan buatan (AI), yang memberi tekanan besar terhadap kapasiti sistem serta kelangsungan operasi jangka panjang syarikat itu.
Anthropic menjelaskan pelan langganan Claude sedia ada tidak direka untuk menyokong corak penggunaan berskala besar oleh alat pihak ketiga.
Namun, pengguna masih boleh menggunakan Claude melalui platform sedemikian sama ada dengan membeli pelan penggunaan tambahan pada kadar diskaun atau menggunakan kunci API rasmi Claude.
Bagi mengurangkan kesan ke atas pelanggan terjejas, Anthropic akan memberikan kredit sekali beri yang nilainya bersamaan kos pelan bulanan masing-masing.
Pelanggan yang berpendapat pampasan itu tidak mencukupi turut diberikan pilihan untuk memohon bayaran balik penuh menerusi pautan yang akan dihantar melalui e-mel dalam masa terdekat.
Sebelum ini, Anthropic dilaporkan telah mula mengetatkan had penggunaan Claude Code ketika waktu puncak sejak minggu lalu.
Keputusan terbaharu itu mencerminkan keutamaan syarikat berkenaan untuk memastikan kestabilan perkhidmatan kepada pengguna produk dan API rasminya.