Skip to main content

Politik

Ahli Parlimen PKR diingatkan sentiasa berpegang kepada mandat parti

71737903644_FuziahSalleh.jpg
Fuziah (foto) berkata setiap wakil rakyat perlu mematuhi ketetapan parti serta membawa prinsip perjuangan yang telah diamanahkan kepada mereka. -Gambar fail

KUANTAN: Ahli Parlimen PKR diingatkan supaya sentiasa berpegang kepada mandat parti dalam melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat, kata Setiausaha Agung PKR Datuk Fuziah Salleh.

Beliau berkata setiap wakil rakyat perlu mematuhi ketetapan parti serta membawa prinsip perjuangan yang telah diamanahkan kepada mereka.

"Mereka bukan saja berkhidmat untuk kawasan pilihan raya, tetapi mewakili parti dan seharusnya membawa prinsip perjuangan itu, bukannya mempromosikan parti lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan MADANI Mart, Cawangan Jalan Dato' Wong Ah Jang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Teruntum di sini, hari ini.

Fuziah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengulas mengenai kehadiran beberapa Ahli Parlimen ke program anjuran kepimpinan parti lain serta siri jelajah dalaman, baru-baru ini.

Beliau berkata beberapa pemimpin telah ditugaskan untuk berhubung serta memberikan nasihat kepada Ahli Parlimen yang terlibat mengenai tanggungjawab mereka yang membawa mandat parti.

"Ini nasihat kepimpinan kepada mereka, setakat ini kita menghormati mereka sebagai Ahli Parlimen … bukan setakat berkhidmat kepada rakyat, tetapi wakil parti itu penting, di Parlimen nanti nak undi dan sebagainya, harus berpegang dengan apa yang ditetapkan oleh parti," katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement