SEOUL: Korea Selatan pada Jumaat memuktamadkan rancangan untuk memperoleh pemintas peluru berpandu Standard Missile-6 (SM-6) buatan Amerika Syarikat (AS) bagi kegunaan kapal perang menjelang 2034 dalam usaha memperkukuh keupayaan pertahanan peluru berpandunya, lapor Agensi Berita Yonhap.
Jawatankuasa Promosi Projek Pertahanan, badan pembuat keputusan bagi perolehan senjata di bawah Pentadbiran Program Perolehan Pertahanan (DAPA), meluluskan projek bernilai 530 bilion won (AS$351.5 juta) untuk memperoleh pemintas peluru berpandu kapal ke udara jarak jauh SM-6 serta peralatan berkaitan, menurut agensi itu.
Pemintas SM-6 ialah sistem pertahanan peluru berpandu canggih bagi kapal perang yang mampu mengesan dan memusnahkan pelbagai ancaman yang menghampiri.
Ia mempunyai jarak maksimum 460 kilometer (km) dengan altitud sehingga 36 km, selain dibina untuk menjejak sasaran secara langsung menggunakan radar sendiri, sekali gus membolehkan kapal menangani pelbagai ancaman pada masa yang sama.
Pihak tentera merancang untuk melengkapkan kapal pembinasa Aegis seberat 8,200 tan, ROKS Dasan Jeong Yakyong, yang dijadual mula beroperasi lewat tahun ini, serta ROKS Daeho Kim Jong Seo, sebuah lagi kapal dalam kelas sama, dengan pemintas SM-6.
Pemintas SM-6 itu juga akan dipasang pada ROKS Jeongjo the Great yang telah pun ditempatkan menerusi peningkatan keupayaan pada masa depan.
“Projek ini dijangka meningkatkan keupayaan pertahanan udara kapal pembinasa Aegis terhadap peluru berpandu balistik antikapal musuh, pesawat dan peluru berpandu krus, selain menambah baik keupayaan pertahanan antipeluru berpandu balistik,” menurut DAPA.
Pada November 2023, AS meluluskan penjualan bernilai AS$650 juta melibatkan sehingga 38 peluru berpandu SM-6 serta peralatan berkaitan kepada Korea Selatan menerusi program Jualan Ketenteraan Asing antara kerajaan.
Pengumuman DAPA pada Jumaat mencadangkan bahawa perolehan itu mungkin telah dikurangkan berbanding pelan terdahulu. Garis masa perolehan itu juga disemak semula kepada 2023 hingga 2034 berbanding jadual asal dari 2023 hingga 2031.
Jawatankuasa itu turut meluluskan pelan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi sistem satelit komunikasi ketenteraan baharu untuk menggantikan satelit dan peralatan darat lama.
-- BERNAMA-YONHAP