Skip to main content

Sukan

Old Trafford bergema dengan ucapan terima kasih buat Casemiro

Sumber: Manchester United
Sepanjang bersama The Red Devils, Casemiro membuat 160 penampilan serta menjaringkan 26 gol dalam semua pertandingan. - Foto Manchester United

CASEMIRO mengucapkan selamat tinggal penuh emosi kepada penyokong Manchester United selepas membantu pasukan menewaskan Nottingham Forest 3-2 dalam aksi terakhirnya di Old Trafford musim ini.

Pemain tengah Brazil berusia 34 tahun itu diberikan penghormatan istimewa apabila menerima tepukan gemuruh daripada penyokong sebaik dikeluarkan pada minit ke-81, sebelum kembali ke tengah padang bersama pasangan dan anak perempuannya untuk mengucapkan salam perpisahan kepada para peminat.

Kehadiran ribuan penyokong di Old Trafford jelas membuktikan betapa besar penghargaan terhadap Casemiro, yang bakal meninggalkan kelab selepas kontraknya tamat musim panas ini.

Bekas bintang Real Madrid itu menyertai United pada jendela perpindahan musim panas 2022 dengan nilai perpindahan sekitar £60 juta dan segera menjadi tonggak utama di bahagian tengah pasukan.

Sepanjang bersama The Red Devils, Casemiro membuat 160 penampilan serta menjaringkan 26 gol dalam semua pertandingan. Beliau turut membantu United menjulang Piala EFL 2023 dan Piala FA 2024.

Walaupun pernah melalui tempoh prestasi tidak menentu dan spekulasi mengenai masa depannya, Casemiro bangkit mempamerkan aksi terbaik musim ini untuk membantu skuad kendalian Michael Carrick kembali bersaing di pentas Eropah.

Dalam ucapan ringkas namun penuh emosi kepada penyokong selepas tamat perlawanan, Casemiro berkata:

“Saya mulakan dengan ucapan terima kasih kepada semua. Terima kasih kepada pemain, staf dan semua di kelab ini.

“Tetapi perkara terbaik tentang kelab ini adalah anda semua, para penyokong… terima kasih.”

Perpisahan penuh bermakna itu menutup perjalanan indah Casemiro di Old Trafford - seorang pejuang yang akan sentiasa diingati penyokong United.

 

Must Watch Video