Skip to main content

Malaysia

TH laksana penambahbaikan perkhidmatan tanpa kos tambahan

Lembaga Tabung Haji meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada jemaah haji Malaysia dengan melaksanakan pelbagai penambahbaikan. credit: Astro AWANI
Mustakim (tiga, kiri) berkata sistem baharu dalam aspek penyediaan makanan mendapat sambutan positif jemaah haji dengan kadar pengambilan makanan mencecah lebih 90 peratus setiap hari. - Foto Astro AWANI

MEKAH: Lembaga Tabung Haji (TH) meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada jemaah haji Malaysia dengan melaksanakan pelbagai penambahbaikan, termasuk dalam aspek penyediaan makanan, tanpa melibatkan sebarang kos tambahan kepada jemaah sejak tiga tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, pendekatan itu hasil penstrukturan operasi dan kecekapan pengurusan dalaman bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan terus relevan dan memenuhi keperluan jemaah.

Menurut beliau, antara penambahbaikan ketara adalah pelaksanaan sistem pek makanan yang bukan sahaja memudahkan pengagihan, tetapi turut memastikan tahap kesegaran, keselamatan dan keseimbangan nutrisi sentiasa terjaga.

“Kita sentiasa cari jalan untuk tambah baik perkhidmatan tanpa membebankan jemaah. Dalam tempoh tiga tahun ini, pelbagai penambahbaikan dapat dilaksanakan tanpa sebarang kos tambahan,” katanya ketika ditemui di sini.

Terdahulu beliau membawa media melawat dua Dapur Berpusat di Al Wafa - Waly Al Ahd dan Tadco - Al Zaidi di sini.

Dalam aspek penyediaan makanan, Mustakim menjelaskan proses memasak dilakukan lebih awal bagi memastikan kesegaran makanan sebelum dihantar ke hotel penginapan jemaah.

Image
Lembaga Tabung Haji meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada jemaah haji Malaysia dengan melaksanakan pelbagai penambahbaikan. credit: Astro AWANI
Foto Astro AWANI

Menurutnya, bagi hidangan tengah hari, penyediaan bermula seawal jam 2 pagi, manakala hidangan makan malam pula disediakan seawal jam 10 pagi.

“Makanan ini akan disimpan dalam ‘hot lunch box’ dan ‘food warmer’ pada suhu sekitar 60 darjah Celsius bagi memastikan keselamatan serta kualiti makanan terpelihara walaupun melalui penghantaran jarak jauh,” katanya.

Beliau berkata, sistem itu turut mengambil kira faktor logistik termasuk jarak serta kawalan keselamatan di laluan penghantaran.

Selain itu, jemaah digalakkan menikmati makanan dalam tempoh dua jam selepas penerimaan bagi memastikan tahap kesegaran dan kualiti berada pada tahap optimum.

Mustakim berkata, penyediaan makanan juga mematuhi piawaian kawalan kualiti yang ketat termasuk pensijilan antarabangsa serta keperluan pihak berkuasa tempatan Arab Saudi.

“Setiap proses ada kawalan kualiti. Penyedia makanan juga mematuhi standard ISO serta peraturan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan makanan selamat dimakan,” katanya.

Image
Sumber: Astro AWANI
Foto Astro AWANI

Menu makanan pula disusun secara kitaran selama 14 hari bagi memberikan variasi hidangan kepada jemaah selain memudahkan penyelarasan operasi.

“Jika ada jemaah yang tidak boleh makan ayam atau daging, kita sediakan pilihan lain seperti ikan. Kita cuba penuhi keperluan khas setakat yang boleh,” katanya.

Mengulas penerimaan jemaah, beliau berkata sistem baharu itu mendapat sambutan positif dengan kadar pengambilan makanan mencecah lebih 90 peratus setiap hari.

Menurutnya, lebihan makanan turut disediakan sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan tiada kekurangan dalam pengagihan.

Mustakim berkata, segala penambahbaikan yang dilaksanakan mencerminkan komitmen TH untuk terus meningkatkan pengalaman jemaah di Tanah Suci tanpa menambah beban kewangan mereka.

Image
Lembaga Tabung Haji meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada jemaah haji Malaysia dengan melaksanakan pelbagai penambahbaikan. credit: Astro AWANI
Foto Astro AWANI


 

Must Watch Video