ALOR SETAR: Seorang wanita cedera parah di leher dipercayai ditikam seorang lelaki yang dikenalinya dalam kejadian di hadapan sebuah restoran di Jalan Titi Gajah, dekat sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Syed Basri Syed Ali berkata dalam kejadian pada 9.19 malam itu, mangsa yang berusia 35 tahun ditikam di bahagian leher kanan oleh suspek berusia 32 tahun di dalam kereta jenis Mazda milik mangsa.
“Semasa kejadian, mangsa berada di tempat duduk pemandu manakala suspek di tempat duduk penumpang hadapan. Selepas menikam mangsa, suspek telah melarikan diri dari lokasi kejadian dan usaha memburu suspek terus dijalankan.
“Mangsa pula dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, di sini dan setakat ini dia dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya pada sidang media di sini tengah malam tadi.
Beliau berkata mangsa dan suspek dipercayai saling mengenali kerana menaiki kenderaan yang sama dan masing-masing bekerja sebagai ejen hartanah, namun sejauh mana hubungan mereka masih belum dapat dipastikan.
Syed Basri berkata polis sedang mengesan senjata yang digunakan dalam kejadian itu dan motif kejadian manakala kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata.
“Kita (polis) minta suspek untuk menyerah diri kepada polis dan orang ramai yang mengenali suspek juga diminta menyalurkan maklumat bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil,” katanya.
-- BERNAMA