Skip to main content

Politik

UMNO beri bayangan PRN Melaka dalam tempoh empat bulan

17 Mei 2026 - Sireh pulang ke gagang… Begitulah perumpamaan tepat yang menggambarkan kegembiraan saya serta pimpinan UMNO Bahagian Masjid Tanah apabila menerima kembali kemasukan seramai 190 ahli Bersatu dan NGO dalam kawasan Parlimen Masjid Tanah ke dalam parti UMNO dalam program “Sireh Pulang Ke Gagang”, malam ini.
Ab Rauf mengadakan Majlis Makan Malam Sireh Pulang ke Gagang di kediamannya di Kampung Pulau, Masjid Tanah, di Melaka malam tadi. - Foto Facebook Ab Rauf

MELAKA: Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memberikan bayangan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan diadakan dalam tempoh empat bulan akan datang.

Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka berkata pilihan raya itu tidak sesuai diadakan terlalu hampir dengan tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir pada Disember ini kerana waktu berkempen dijangka bertembung dengan Ramadan dan Aidilfitri.

“Jadi, kita pastikan cuba melihat waktu yang sesuai dalam tempoh 120 hari (untuk melaksanakan PRN Melaka),” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Makan Malam Sireh Pulang ke Gagang di kediamannya di Kampung Pulau, Masjid Tanah, di sini malam ini.

Ditanya sama ada UMNO Melaka akan bertanding secara solo sebagaimana diputuskan UMNO Johor semalam, Ab Rauf berkata perkara itu masih belum dimuktamadkan.

“Hal itu kita tak fikirkan lagi sama ada (bertanding secara) solo ataupun kita bersama (dengan parti lain) … kita akan tunggu masa sesuai untuk buat pengumuman.

“Kita dah mula gerak kerja sejak tahun lepas lagi dan insya-Allah, melihat daripada penerimaan masyarakat, kerajaan negeri (yang diterajui BN) ini merupakan satu kerajaan yang menjadi pilihan utama mereka,” katanya.

Terdahulu pada majlis berkenaan, lebih 190 individu dari Parlimen Masjid Tanah menyerahkan borang keahlian menyertai UMNO menerusi Rumah Bangsa.

BN memenangi 21 daripada 28 kerusi pada PRN Melaka 2021, manakala penggal DUN Melaka dijangka berakhir pada Disember ini.

-- BERNAMA

 



 

Must Watch Video