SHAH ALAM: Segala persiapan dan latihan atlet Selangor diteruskan sementara menunggu keputusan muktamad berhubung penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 yang dijadualkan Ogos ini.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi berkata Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor diminta meneruskan usaha pembangunan atlet serta program latihan.
“Untuk kontinjen Selangor kita masih jalankan persiapan dan latihan seperti biasa. Jadi saya minta MSN Selangor terus menjalankan kerja pembangunan atlet dan latihan,” katanya kepada pemberita di Wisma Dewan Negeri Selangor hari ini.
Mohd Najwan berkata semua pandangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor berhubung penganjuran temasya sukan dwitahunan itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini, akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA Selangor 2026 akan datang.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA ke-22 dan Para SUKMA Selangor 2026 berkata keputusan berhubung penangguhan sukan itu akan diputuskan menerusi jawatankuasa tersebut yang terdiri daripada Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari dan Exco-Exco sukan negeri.
Mohd Najwan dan Dr Mohammed Taufiq juga dijangka menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk mempersembahkan dapatan mesyuarat jawatankuasa itu.
Sementara itu, Mohd Najwan berkata Kerajaan Negeri Selangor turut mengharapkan suntikan dana daripada KBS bagi penganjuran SUKMA seperti semasa penganjuran di negeri lain.
“Saya difahamkan dalam penganjuran SUKMA lepas, negeri penganjur termasuk Sarawak, Perlis dan Perak menerima peruntukan daripada kerajaan Persekutuan.
“Cuma tahun ini, Selangor tidak menerima sebarang peruntukan lagi. Kita sedang ikhtiar untuk itu (kerana akan) membantu kerajaan negeri dari segi kos penganjuran,” katanya.
Semalam, Sultan Sharafuddin bertitah penganjuran SUKMA Selangor 2026 wajar ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat selesai dan pembangunan semula Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.
SUKMA Selangor 2026 dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos.
Susulan itu, Mohd Najwan berkata kerajaan negeri akan mempertimbangkan pandangan semua ADUN Selangor berhubung perkara itu.
Dr Mohammed Taufiq pula berkata akan mendapatkan pandangan kerajaan negeri susulan titah Sultan Selangor itu.
-- BERNAMA