Skip to main content

Malaysia

Malaysia kekal berdaya tahan, didorong tumpuan kepada disiplin fiskal - Amir Hamzah

BATU KAWAN, 22 Sept — Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika ditemubual pemberita pada Program Jelajah Belanjawam 2026 di Broadcom Inc hari ini.  — fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Amir Hamzah berkata negara sedang melalui proses pembaharuan ekonomi yang bukan sahaja menumpukan kepada sistem ekonomi campuran dan peningkatan kekompleksan ekonomi malah juga mengatasi beban fiskal secara bertanggungjawab. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Malaysia kekal berdaya tahan walaupun menghadapi kekangan bekalan global dan ketidaktentuan harga tenaga, didorong tumpuan kepada disiplin fiskal dan pembaharuan ekonomi.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata negara sedang melalui proses pembaharuan ekonomi yang bukan sahaja menumpukan kepada sistem ekonomi campuran dan peningkatan kekompleksan ekonomi malah juga mengatasi beban fiskal secara bertanggungjawab.

“Kami telah mencapai kemajuan besar. Sebelum ini kami mencatatkan defisit fiskal 6.4 peratus, tahun lepas kami mencapai 3.7 peratus. Kini, kami berada di landasan untuk merekodkan 3.5 peratus, dan diharapkan dalam dua atau tiga tahun lagi, kami akan mencapai di bawah tiga peratus.

“Saya berpandangan perkara ini penting. Kerajaan telah membuat keputusan berprinsip untuk menambah baik disiplin fiskal dan memastikannya menjadi panduan utama pada masa hadapan,” katanya dalam wawancara bersama CGTN America di Washington selepas Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada Isnin.

Amir Hamzah berkata sebagai sebahagian daripada pembaharuan ekonomi, kerajaan sedang beralih daripada subsidi menyeluruh kepada mekanisme bersasar untuk mengurangkan beban fiskal dan pada masa sama melindungi golongan rentan.

“Apabila kami menumpukan kepada disiplin yang lebih baik dan mengurangkan beban subsidi ketika kami melaksanakan pembaharuan (ekonomi), kami membina penampan, dan seperti yang dapat dilihat, apabila defisit fiskal menurun, kerajaan kini mempunyai penampan yang lebih baik untuk menyokong keadaan luar biasa sementara yang sedang kita hadapi,” katanya.

Amir Hamzah berkata walaupun kekurangan bekalan global juga menyebabkan tekanan inflasi dan harga yang lebih tinggi -- memastikan bekalan adalah penting untuk mengekalkan aktiviti ekonomi.

“Penting untuk kita semua bekerjasama mencari penyelesaian yang lebih baik, dan saya berharap kita dapat meredakan isu-isu ini kerana dunia tidak akan mendapat manfaat daripada keadaan yang sedang kita lalui.

“Saya juga berpandangan kita telah melihat tanda-tanda positif kebelakangan ini, dan berharap akan membawa kepada penyelesaian kekal jangka panjang seterusnya menjadikan dunia berada dalam keadaan yang lebih baik,” katanya.

Menjawab pertanyaan mengenai kos penghantaran, premium insurans dan kadar tambang yang tinggi, Amir Hamzah berkata kos logistik akan mencerminkan keadaan permintaan, namun dijangka tidak mengatasi pertumbuhan asas dalam sektor berkaitan.

“Saya berpendapat, perniagaan asas di Malaysia mempunyai keupayaan kerana permintaan keseluruhan bagi segmen yang kita laksanakan masih kukuh, elektrik dan elektronik serta semikonduktor masih teguh, pusat data juga terus berkembang dalam konteks Malaysia, dan kami kini berada dalam fasa yang lebih intensif,

“Kekuatan ekonomi Malaysia terletak pada kepelbagaian campuran produk -- kepelbagaian dari segi produk dan pasaran; jadi kita mempunyai ruang untuk mula menyesuai dan membuat pelarasan kecil,” katanya.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata Malaysia sentiasa menjadi negara perdagangan terbuka manakala hubungan dagangan yang kukuh dengan negara dan rantau seperti China, Amerika Syarikat, ASEAN dan Kesatuan Eropah, serta terus mengalu-alukan kerjasama daripada semua negara.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video