JASIN: Inovasi reka bentuk sangkar dan pengurusan ternakan menjadi pencetus kejayaan seorang pengusaha dan usahawan ternakan arnab pedaging terbesar di negeri ini.
Mohamad Shah Rizal Minhat yang mengusahakan ternakan tersebut berkata penggunaan reka bentuk sangkar yang sesuai sangat penting dalam meningkatkan kadar kelangsungan hidup dan mempercepatkan tumbesaran anak arnab.
“Sejak bermula secara serius pada 2020, kami buat banyak percubaan pada reka bentuk sangkar kerana ia elemen paling utama dalam memastikan kadar kelangsungan hidup induk dan anak arnab yang dibiak. Bila sangkar terlalu besar, anak kurang menyusu dan kadar kematian tinggi.
“Selepas beberapa kali melakukan percubaan, kami kecilkan saiz bagi induk 0.61 meter x 0.46 meter manakala ‘grower’ 0.37 meter x 0.30 meter dan kadar hidup didapati meningkat dengan ketara,” katanya kepada Bernama.
Beliau yang mengusahakan ladang ternak seluas satu ekar di Kesang Pajak, di sini, berkata pendekatan pengasingan satu sangkar bagi setiap arnab juga membantu dalam kawalan penyakit dan pemantauan kesihatan yang lebih berkesan.
“Bila kita asingkan, kita mudah kesan perubahan. Contohnya, kalau makanan yang diberi pada waktu petang tak habis pada keesokan harinya, itu petanda awal arnab tidak sihat seperti kembung, cirit atau dijangkiti kurap dan tindakan boleh diambil dengan segera,” katanya yang memiliki kira-kira 600 ekor induk dengan pengeluaran mencecah lebih satu tan sebulan.
Mengenai permintaan daging arnab di pasaran tempatan, Rizal menjelaskan permintaan semakin meningkat sehingga dua ke tiga tan sebulan namun bekalan masih belum mencukupi berikutan jumlah penternak yang terhad selain ketiadaan sijil halal yang mengehadkan pasaran.
"(Pada peringkat awal) saya pernah cuba pasarkan ke beberapa pasar raya besar namun soalan pertama yang ditanya adakah saya mempunyai sijil halal.
“Sebab itu saya nekad untuk memohon sijil halal pada 2022 selepas mendapat sijil Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) yang membuka jalan kepada syarikat untuk terus meneroka pasaran arnab di Malaysia," katanya.
Mengulas mengenai potensi ternakan ini, Rizal berkata penternakan arnab pedaging sesuai diusahakan secara kecil-kecilan di kawasan rumah memandangkan kos permulaan rendah dan kitaran pembiakan yang cepat.
“Ramai tak nampak potensi (penternakan) arnab ini. Sebenarnya ternak 10 ekor pun sudah boleh jana pendapatan. Ia boleh bermula sebagai sumber sampingan dan berkembang menjadi pendapatan utama.
"Saya pilih baka arnab New Zealand White kerana tumbesaran pantas, metabolisme cekap dan kualiti daging yang baik dan dikacuk dengan baka Californian yang berbadan gempal dan bulu berkualiti. Dengan kombinasi ini, saya mendapat arnab yang berpotensi tinggi bagi pasaran komersial.
"(Baka ini) bukan sahaja rintang kepada penyakit tetapi tempoh bunting hanya sekitar 30 hari dan mampu beranak sehingga enam kali setahun, selain boleh dijual seawal usia 60 hari dengan berat mencecah kira-kira dua kilogram," katanya.
Mohamad Shah Rizal berkata daging arnab juga mempunyai kandungan protein tinggi, rendah lemak dan sesuai dijadikan alternatif kepada ayam.
Selain itu, katanya, bahagian tertentu seperti telinga dan organ dalaman arnab boleh diproses menjadi makanan haiwan premium, manakala sisa ternakan dimanfaatkan sebagai baja organik.
-- BERNAMA