ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Selasa, 21 April 2026.
1. PMKS: Inisiatif tambahan RM5 bilion perluas akses pembiayaan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan inisiatif khas di bawah Bank Negara sebanyak RM5 bilion bagi memperluas akses pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
2. 33 lelaki yang didenda merusuh di pusat hiburan terkejut turut dihukum penjara 10 bulan
Seramai 33 lelaki yang sebelum ini hanya dikenakan denda antara RM2,000 dan RM3,000 oleh Mahkamah Majistret tercengang apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini menambah hukuman penjara selama 10 bulan kerana merusuh dan memiliki pelbagai senjata
3. Kerajaan jamin tiada dasar subsidi mengejut, lindungi rakyat berpandukan data - Fadillah
Kerajaan memberi jaminan tidak akan melakukan sebarang perubahan dasar mengenai jaminan subsidi bahan api secara mengejut, meskipun krisis geopolitik di Asia Barat terus memberi tekanan kepada pasaran tenaga global.
4. Remaja perempuan maut terjatuh dari kondominium di Tanjung Tokong
Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 16 sebuah kondominium di Tanjung Tokong, Pulau Pinang.
5. Kerajaan bakal umum langkah tambahan bantu golongan tersisih peluang pekerjaan - PM
Kerajaan akan mengumumkan langkah tambahan dalam masa terdekat bagi membantu golongan yang masih tersisih daripada peluang pekerjaan susulan krisis bekalan global.
6. Makkah Route: Bagaimana Malaysia ubah cara dunia hantar jemaah haji?
Bayangkan setelah selamat tiba di lapangan terbang Madinah, hanya perlu menunggu dua minit sebelum keluar dan meneruskan perjalanan ke tempat penginapan. Itulah realiti yang dialami lebih 31,000 jemaah haji Malaysia setiap tahun hasil daripada satu inisiatif perintis yang kini menjadi model kepada dunia.
7. Tangguh Sukma 2026: KBS junjung titah Sultan Selangor, bakal adakan mesyuarat khas
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berhubung cadangan penangguhan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2026.
8. Kerajaan tidak peluk tubuh hadapi krisis global, ambil langkah utamakan rakyat - PM Anwar
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berpeluk tubuh dalam mendepani krisis global yang semakin kompleks.
9. Kawal selia AI, kejuruteraan genetik pada peringkat awal elak kesilapan masa hadapan - Sultan Nazrin
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini menzahirkan peringatan bahawa teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan kejuruteraan genetik perlu dikawal selia daripada peringkat awal bagi menghindari kesilapan silam “bina dahulu, kawal kemudian” berulang kembali.
10. Seleweng dana zakat RM230 juta, SPRM tahan tiga individu termasuk timbalan pengerusi NGO
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan tiga individu hari ini termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) kerana disyaki menyeleweng dana zakat kira-kira RM230 juta.