Skip to main content

Malaysia

PFA mohon FAM pertimbangkan semula keputusan pemecatan

Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) / FAM
Pada 4 Sept 2025, FAM dilaporkan memecat PFA sebagai ahli gabungan selepas persatuan bola sepak negeri itu gagal menyelesaikan isu berkaitan arahan Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

KANGAR: Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) akan mengemukakan permohonan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) supaya mempertimbangkan semula keputusan memecat persatuan itu sebagai ahli gabungan badan induk berkenaan.

Presiden PFA Zamri Ibrahim berkata perkara itu antara isu yang dibincangkan dalam Kongres Tahunan PFA yang berlangsung di sini hari ini, dan persatuan merancang mengemukakan permohonan tersebut selepas jawatankuasa baharu FAM dilantik.

“PFA tidak bercadang memohon keahlian baharu, sebaliknya akan mengemukakan permohonan supaya keputusan pemecatan sebelum ini ditarik balik,” katanya kepada Bernama selepas kongres berkenaan.

Antara agenda kongres itu ialah pemilihan jawatankuasa baharu PFA bagi sesi 2026 hingga 2030, dengan Zamri dilantik semula sebagai presiden persatuan untuk tempoh berkenaan.

Pada 4 Sept 2025, FAM dilaporkan memecat PFA sebagai ahli gabungan selepas persatuan bola sepak negeri itu gagal menyelesaikan isu berkaitan arahan Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), termasuk pembayaran gaji tertunggak dan pampasan kontrak kepada bekas Pengarah Bola Sepak PFA, Matt Holland, dalam tempoh enam bulan ditetapkan.

PFA bagaimanapun boleh mengemukakan permohonan untuk menjadi ahli gabungan FAM semula selepas semua permasalahan berjaya diselesaikan.

Sebelum itu, pada Disember 2024, FAM memutuskan untuk menggantung PFA sehingga persatuan melunaskan sepenuhnya tunggakan gaji dan pampasan kontrak yang dituntut bekas Pengarah Bola Sepak itu, selaras dengan arahan FIFA yang dikeluarkan pada 4 Dis 2019.

Zamri mendakwa PFA tidak pernah dipanggil untuk berbincang mengenai penyelesaian isu tunggakan gaji dan pampasan kontrak tersebut, sebaliknya FAM terus menggantung dan memecat persatuan tanpa sebarang perbincangan.

-- BERNAMA

Must Watch Video