KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, mengingatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, supaya tidak terlalu yakin dengan kedudukan semasa ketika isu melibatkan dirinya masih diperkatakan.
Tegasnya, walaupun Azam menyatakan kesediaan untuk berdepan siasatan dan mendakwa tidak gentar disiasat, skop siasatan yang berjalan ketika ini dilihat masih terhad.
Beliau mendakwa penelitian yang dibuat setakat ini hanya menjurus kepada isu pemilikan saham dan belum merangkumi dakwaan lain yang lebih serius.
Katanya, perkara itu menimbulkan persoalan sama ada semua aspek telah diteliti secara menyeluruh dan bebas tanpa sebarang kekangan.
Rafizi berkata demikian ketika ditemui media pada Himpunan Tangkap Azam Baki yang diadakan berhampiran Kompleks Sogo, Kuala Lumpur pada Ahad.
Pada masa sama, Rafizi turut membangkitkan kepentingan kewujudan badan siasatan yang benar-benar bebas bagi memastikan ketelusan dan keyakinan rakyat terhadap proses berkenaan.
Menurutnya, keyakinan seseorang pemimpin bahawa dirinya tidak akan terjejas boleh berubah sekiranya sentimen rakyat bertukar arah.
Beliau menegaskan bahawa kedudukan dalam kerajaan atau sokongan mana-mana pihak bukan jaminan mutlak untuk kekal selamat daripada tekanan awam.
“Dia mungkin merasakan dirinya cukup kuat atau mempunyai perlindungan tertentu.
"Tetapi jangan terlalu yakin. Siasatan yang dibuat sekarang hanya tertumpu kepada pemilikan saham. Tuduhan lain yang lebih berat masih belum disentuh secara menyeluruh,” katanya selepas menghadiri himpunan berkenaan.
Rafizi menjelaskan, sejarah politik negara menunjukkan bahawa perubahan boleh berlaku apabila rakyat menyuarakan ketidakpuasan hati secara berterusan.
Beliau berkata, dalam sistem demokrasi, rakyat mempunyai ruang untuk membuat penilaian semula terhadap kepimpinan negara sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh lima tahun melalui pilihan raya.
Dalam pada itu, Azam Baki dilaporkan menyifatkan himpunan dan demontrasi terhadapnya dirinya bukan perkara baharu.
Beliau juga tidak mahu menyatakan dengan lanjut mengenai himpunan itu kerana ia hak masing-masing.