Skip to main content

Politik

Keputusan sertai UMNO dibuat MKT - Ahmad Maslan

PONTIAN, 15 Feb -- Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan bercakap kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Pontian hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ahmad berkata semua pihak perlu berjiwa besar dalam menangani isu berkenaan dan sebarang permohonan menyertai parti itu akan diputuskan MKT. - Bernama

PONTIAN: Sebarang keputusan untuk membenarkan mana-mana pemimpin politik menyertai UMNO akan ditentukan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu berdasarkan tiga prinsip utama.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata tiga prinsip berkenaan ialah Rumah Bangsa, Muafakat Nasional dan Kolaborasi Agung.

Beliau berkata semua pihak perlu berjiwa besar dalam menangani isu berkenaan dan sebarang permohonan menyertai parti itu akan diputuskan MKT.

“Pada saya, dalam situasi sekarang kita hendaklah berjiwa besar. Jika mereka (pemimpin politik) ingin bersama, keputusan akan dibuat oleh MKT.

“Kebiasaannya MKT yang akan memutuskan sekiranya ada permohonan untuk menyertai UMNO,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Pontian yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata demikian ketika diminta mengulas laporan mengenai beberapa pemimpin Bersatu, termasuk bekas Timbalan Presidennya Datuk Seri Hamzah Zainudin yang didakwa akan menyertai UMNO.

Bagaimanapun, beliau menegaskan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak berhasrat mengambil kesempatan terhadap permasalahan atau krisis yang dihadapi parti lain.

Secara peribadi, katanya UMNO dan BN akan terus diperkukuh dengan kekuatan sedia ada.

“Kita tidak mahu mengambil kesempatan daripada kemelut parti lain. Biarlah UMNO dan BN ini kuat atas kekuatan sendiri, bukan disebabkan apa yang berlaku kepada parti lawan,” katanya.

Jumaat lepas, Hamzah dipecat daripada keahlian Bersatu berkuat kuasa serta-merta susulan tindakannya melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti, dengan keputusan itu dibuat Lembaga Disiplin selaras Fasal 22.5 perlembagaan berkenaan.

-- BERNAMA

Must Watch Video