PEMAIN transgender telah dilarang daripada bertanding dalam kejohanan dart wanita susulan keputusan pihak berkuasa pengawalseliaan sukan tersebut yang menetapkan bahawa hanya wanita biologi dibenarkan untuk bersaing.
Pihak Darts Regulation Authority (DRA) berkata, dasar kelayakan baharu itu diperkenalkan selepas satu kajian semula oleh Dr Emma Hilton, seorang ahli akademik biologi perkembangan yang telah menerbitkan beberapa kertas penyelidikan mengenai jantina dan kategori sukan.
“Susulan kajian semula tersebut, DRA berpuas hati bahawa bagi memastikan persaingan yang adil dalam sukan dart, hanya wanita biologi wajar dibenarkan bertanding dalam kejohanan wanita yang dikawal selia oleh peraturan DRA,” kata pihak berkuasa itu dalam satu kenyataan.
“DRA berusaha untuk bersikap inklusif dan semua pemain – tanpa mengira jantina biologi, jantina dari segi undang-undang dan/atau identiti jantina – boleh bertanding dalam kejohanan terbuka dan digalakkan untuk berbuat demikian.”
Menurut laporan Hilton, dart merupakan satu “sukan yang dipengaruhi oleh jantina”, di mana “pelbagai perbezaan jantina berskala kecil” terkumpul dan menghasilkan kelebihan lelaki berbanding pemain wanita.
Peraturan baharu ini diumumkan beberapa minggu selepas Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengumumkan bahawa hanya atlet wanita biologi, yang jantinanya ditentukan melalui ujian saringan gen sekali seumur hidup, layak bertanding dalam acara kategori wanita di Sukan Olimpik.
Noa-Lynn van Leuven, pemain transgender dari Belanda yang telah memenangi beberapa kejohanan wanita, berkata keputusan tersebut akan memaksanya bersara pada usia 29 tahun.
“DRA baru sahaja memutuskan bahawa wanita transgender tidak lagi dibenarkan menyertai acara wanita, yang secara asasnya bermakna saya tersingkir,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.
“Ini satu lagi tamparan besar kepada komuniti trans, terutamanya selepas keputusan-keputusan yang dibuat oleh IOC kebelakangan ini.
"Setiap hari, kehidupan menjadi semakin sukar untuk golongan trans — sekadar untuk wujud, apatah lagi untuk bersaing.” - Agensi