Skip to main content

Politik

Tun Mohd Ali seru persiapan PRN Melaka dilaksana dengan lancar, telus

MELAKA, 24 April -- Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam semasa menyampikan ucapan perasmian sempena perasmian pembukaan persidangan pertama penggal kelima Dewan Undangan Negeri Melaka ke-15 di Kompleks Seri Negeri, hari ini.  Turut hadir isteri Yang Dipertua Negeri Melaka Toh Puan Asmah Abdul Rahman.  —fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mohd Ali semasa menyampikan ucapan perasmian sempena perasmian pembukaan persidangan pertama penggal kelima Dewan Undangan Negeri Melaka ke-15 di Kompleks Seri Negeri, hari ini. - Gambar Bernama

MELAKA: Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam menyeru agar persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dilaksanakan dengan lancar, telus dan profesional.

Beliau berkata urusan logistik, keselamatan dan pelaksanaan PRN Melaka perlu dilaksanakan dengan menjunjung tinggi nilai integriti bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi terus terpelihara.

“Kita kini berada di penggal kelima yang merupakan tahun terakhir bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15. Sehubungan itu, Melaka bakal melalui proses PRN sebagai sebahagian daripada amalan demokrasi yang perlu dihormati dan dipelihara,” katanya ketika berucap sempena Perasmian Pembukaan DUN Melaka di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Penggal kelima DUN Melaka dijadual tamat pada Disember depan, sekali gus bakal membuka laluan kepada PRN diadakan tahun ini.

Mengulas mengenai senario geopolitik dunia khususnya konflik di Asia Barat, Mohd Ali berkata ia bukan sahaja memberi kesan kepada aspek keselamatan antarabangsa, malah turut menjejaskan ekonomi dunia.

“Ketegangan yang berlaku ini memberi implikasi langsung terhadap rantaian bekalan tenaga global, khususnya apabila melibatkan laluan strategik seperti Selat Hormuz yang merupakan nadi utama perdagangan minyak dunia.

“Sebarang gangguan di laluan ini berpotensi menjejaskan bekalan tenaga, meningkatkan harga minyak serta memberi kesan rantaian kepada ekonomi global termasuk negara di rantau Asia Pasifik,” katanya.

Mohd Ali berkata Malaysia turut merasai kesannya apabila kos import tenaga meningkat seterusnya membawa kepada tekanan terhadap kadar inflasi serta kenaikan kos operasi dalam sektor pengangkutan, pembuatan dan perkhidmatan.

Beliau berkata keadaan itu secara tidak langsung memberi tekanan kepada kos sara hidup rakyat serta menuntut langkah mitigasi yang berkesan daripada kerajaan.

Melaka, katanya, turut terkena tempias khususnya dalam sektor perindustrian, logistik dan pelancongan yang bergantung kepada kestabilan kos bahan api dan rantaian bekalan.

“Sehubungan itu, saya berharap kerajaan negeri perlu terus memperkukuh daya tahan ekonomi melalui kepelbagaian sumber ekonomi, peningkatan kecekapan tenaga serta mempergiat penggunaan teknologi dan inovasi bagi mengurangkan kebergantungan kepada faktor luaran.

“Bekalan makanan negeri pula perlu diuruskan dengan berkesan dan terancang bagi memastikan rakyat Melaka sentiasa mendapat bekalan makanan yang mencukupi, stabil serta pada harga berpatutan,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video