Saya telah menerima kunjungan beberapa wakil penduduk dari kawasan Puchong yang hadir bagi mendapatkan penjelasan berkenaan dakwaan tidak berasas berhubung status tanah seluas 168 ekar bertempat di Permatang Kumbang, Pusat Bandar Puchong.
Seramai 14 Persatuan Penduduk telah dilibatkan dalam sesi tersebut yang turut dihadiri oleh YB Ng Sze Han selaku Ahli Dewan Negeri Kinrara bagi mendengar pandangan dan maklum balas setelah beberapa pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat palsu secara terus- menerus.
Perbincangan tersebut berlandaskan tiga dakwaan yang dimainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab iaitu:
1. Kawasan tersebut adalah hutan simpan yang dinyahwarta oleh pentadbiran ini.
2. Kerajaan Negeri telah meluluskan pembangunan di kawasan itu.
3. Tanah itu dijual pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran.
Dua daripada tiga persoalan ini berhubung status tanah telahpun dijelaskan oleh pentadbiran ini seawal bulan Disember 2025 dan awal tahun ini.
Namun begitu, masih terdapat pihak yang mengulangi dakwaan palsu dengan hasrat meraih sokongan politik murahan.
Tindakan ini telah menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk yang beranggapan bahawa kawasan seluas 168 ekar yang terletak berhampiran Hutan Simpan Ayer Hitam di Kinrara akan dibangunkan untuk tujuan komersial ataupun perumahan.
Pertama, tanah seluas 168 ekar yang dirujuk bukan merupakan kawasan Hutan Simpan Kekal.
Ini kerana tanah tersebut telah dinyahwarta pada tahun 1926, 100 tahun lalu. Ketika itu, Puchong dikenali sebagai Kampung Pulas dan Malaysia sedang dijajah oleh British dan dinamakan sebagai British Malaya.
Kedua, berhubung isu pembangunan pula, pentadbiran ini tidak pernah meluluskan sebarang pembangunan di kawasan itu.
Sebaliknya, pada tahun 1996, Kerajaan Negeri pada ketika itu telah meluluskan pemberimilikan tanah kerajaan seluas 168 ekar itu kepada dua syarikat, iaitu Citrasama Projek Sdn. Bhd. dan Metroway Sdn. Bhd. untuk pembangunan Perumahan Kos Rendah.
Permohonan Kebenaran Merancang oleh pemaju telah ditolak oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya pada tahun 2003 kerana 75% kawasan tersebut dikategorikan sebagai cerun Kelas III dan IV, iaitu cerun melebihi 25 darjah dan tidak sesuai untuk dibangunkan.
Memandangkan situasi ini, Kerajaan Negeri pada 18 Ogos 2010 telah memutuskan supaya projek ini dibatalkan serta menarik semula pemberimilikan tanah.
Berikutan itu, pemaju terbabit telah mengambil mengambil kes mahkamah terhadap MPSJ dan Kerajaan Negeri melalui Semakan Kehakiman pada tahun 2011, dan kes ini telah dirujuk sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan pada tahun 2017.
Keputusan mahkamah di peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan berpihak kepada MPSJ, antaranya mengesahkan bahawa keputusan Pihak Berkuasa Tempatan untuk tidak membenarkan pembangunan di kawasan tersebut adalah tepat kerana keadaan cerun.
Isu ketiga adalah melibatkan harga tanah tersebut dijual kononnya di bawah harga pasaran, iaitu pada harga RM13.80 sekaki persegi bersamaan dengan RM101 juta.
Susulan daripada keputusan Kerajaan Negeri untuk membatalkan projek perumahan tersebut, pada tahun 2012, tanah tersebut dihasratkan untuk dijual melalui proses tender terbuka.
Kemudian, juruperunding hartanah telah dilantik untuk menilai harga pasaran tanah pada tahun 2012. Nilai yang dimuktamadkan adalah RM13.02 sekaki persegi ataupun RM95.3 juta secara keseluruhan.
Tiga syarikat telah terlibat dalam proses tender terbuka, dan keputusan telah diambil untuk menjual tanah tersebut pada harga RM101 juta, iaitu kadar 5.90% melebihi harga penilaian.
Oleh kerana proses mahkamah sedang berjalan, hanya bayaran deposit diambil di samping persetujuan Perjanjian Jual Beli pada tahun 2012 antara pembeli tanah dan anak syarikat Kerajaan Negeri, manakala bayaran penuh diselesaikan selepas proses mahkamah secara berfasa sehingga tahun 2020 berlandaskan Perjanjian Jual Beli tahun 2012.
Secara ringkasnya, Kerajaan Negeri menerusi MBSJ berpegang kepada keputusan bahawa tanah tersebut tidak selamat untuk dibangunkan untuk tujuan komersial ataupun perumahan kerana berada pada topografi cerun Kelas III dan Kelas IV dan disahkan oleh Mahkamah Persekutuan.
Di dalam pertemuan saya bersama wakil-wakil Persatuan Penduduk, saya telah menyatakan pendirian Kerajaan Negeri berhubung isu ini serta membetulkan persepsi tiga tuduhan tidak berasas yang disebarkan bagi tujuan politik.
Pihak penduduk turut mencadangkan sekiranya laluan mendaki menghala ke Hutan Simpan Ayer Hitam dapat dikekalkan bagi manfaat para penduduk dan komuniti pendaki di Puchong.
Permohonan ini akan diangkat ke peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta rundingan bersama pihak pemunya tanah supaya keperluan riadah dan rekreasi komuniti tempatan dipelihara.
-- Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari