PUTRAJAYA: Kementerian Digital akan mengenal pasti keperluan khusus merentasi sektor bagi memastikan penyelesaian teknologi dapat mencapai kumpulan sasarannya dengan berkesan di bawah inisiatif Microsoft Elevate: Pembinaan Kapasiti Kecerdasan Buatan (AI) Kebangsaan.
Menterinya Gobind Singh Deo berkata kumpulan sasaran itu termasuk pendidik, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), institusi pembelajaran dan anggota perkhidmatan awam.
Beliau berkata tumpuan akan diberikan kepada memahami keperluan unik pelbagai sektor dan komuniti bagi memastikan penggunaan AI dapat diterjemahkan kepada manfaat ketara, terutamanya dalam memperkukuh perniagaan dan menangani cabaran sedia ada.
"Sejak dua tahun lepas kementerian memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur.
"Sekarang persoalannya ialah sama ada teknologi itu benar-benar sampai kepada kumpulan yang memerlukan penyelesaian tersebut. Saya fikir kita sedar tentang perkara itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di sini, hari ini, selepas melancarkan Microsoft Elevate, inisiatif pembangunan kapasiti Al kebangsaan yang diperluas untuk memperkukuh kesediaan Malaysia bagi mencapai matlamat Negara Al menjelang 2030.
Gobind berkata kerjasama antara kerajaan dan pemain industri, termasuk syarikat seperti Microsoft, penting dalam memperluas program latihan dan kesedaran bagi memacu penggunaan AI di seluruh negara.
Selain itu, katanya, pelbagai organisasi, termasuk kerajaan dan sektor swasta, sudah menawarkan inisiatif latihan, dan usaha sedemikian harus diperkukuh bagi memastikan penyertaan yang lebih meluas.
"Kita mesti terus menggalakkan kerjasama dengan industri untuk menganjurkan lebih banyak program yang mendidik orang ramai, mewujudkan kesedaran dan menggalakkan penggunaan teknologi baharu," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pelaksanaan program latihan melibatkan pelbagai pihak termasuk kerajaan dan industri, dengan kos dan penganjuran ditanggung mengikut jenis projek serta organisasi terlibat.
"Saya telah minta kementerian saya untuk menggerakkan jentera di setiap negeri untuk pastikan ia sampai kepada pihak yang memerlukan," katanya.
Beliau berkata pendekatan yang lebih bersasar akan dilaksanakan dengan meneliti keperluan setiap lapisan masyarakat dan sektor bagi memastikan manfaat teknologi dapat diperluas secara inklusif di seluruh negara.
"Banyak permintaan di peringkat negeri juga supaya kita beri penerangan dengan lebih teliti. Yang penting adalah untuk kita pastikan bahawa apa-apa teknologi yang kita wujudkan dapat dimanfaatkan," katanya.
-- BERNAMA