Skip to main content

Malaysia

Larangan jual minyak masak peket bersubsidi kepada warga asing berkesan - KPDN

PUTRAJAYA, 24 April -- Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Azman Adam ketika sidang media sempena Sambutan Hari Penguat Kuasa KPDN di KPDN Putrajaya hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Azman ketika sidang media sempena Sambutan Hari Penguat Kuasa KPDN di KPDN Putrajaya hari ini. - Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Penguatkuasaan larangan penjualan minyak masak peket bersubsidi kepada warga asing sejak 1 Mac didapati berkesan apabila hanya tiga kes berkaitan direkodkan setakat ini.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Azman Adam berkata dua kes berlaku di Kedah manakala satu di Selangor.

“Data aduan diterima KPDN juga menunjukkan apabila kami mula menguatkuasakan peraturan ini, maklumat orang ramai tentang warga asing membeli minyak masak peket menurun dengan mendadak,” katanya.

Azman berkata demikian pada sidang media sempena pencapaian penguatkuasaan Ops Tiris 2025 sehingga Mac 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan peraturan diumumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali pada 29 Jan bertujuan memastikan subsidi minyak masak terus dinikmati rakyat tempatan.

Beliau berkata kerajaan terus memperkukuh sistem pemantauan bekalan minyak masak melalui pelaksanaan sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) yang membolehkan pengesanan rantaian bekalan dari kilang penapis hingga kepada pengguna.

Sejak sistem eCOSS dikuatkuasakan, beliau berkata kes kedai milik warga asing menjual minyak masak bersubsidi semakin jarang dilaporkan kerana mereka tidak dibenarkan mendaftarkan premis perniagaan dalam sistem itu.

Selain itu, beliau berkata hasil audit penguatkuasaan tahun lepas, sebanyak 27 syarikat pembungkus minyak masak dikenakan tindakan termasuk penggantungan kuota, pembatalan lesen serta pendakwaan manakala 94 lagi pada peringkat pemborong dan peruncit dikenakan tindakan sama.

Dalam pada itu, Azman berkata had pembelian minyak masak peket bersubsidi kekal pada kadar tiga kilogram seorang sejak 2022, berdasarkan anggaran penggunaan isi rumah yang mencukupi oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Beliau berkata kerajaan juga mengekalkan kawalan harga minyak masak botol pada kadar antara RM6.90 hingga RM30.90 sejak 2022 walaupun berlaku kenaikan harga minyak sawit mentah (CPO) pada pasaran global.

Pendekatan itu bagi memastikan pengguna tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup selain menyokong pelaksanaan pelbagai inisiatif kerajaan termasuk Program Jualan Rahmah di seluruh negara.

-- BERNAMA 

Must Watch Video