Skip to main content

Malaysia

Pahang kekal destinasi pilihan, catat kadar purata tempoh penginapan tertinggi 2025

 Tahun 2025 mencatat 76.3%, meningkat berbanding 2024 (75.6%) dan 2023 (74.1%). Ini membuktikan Pahang terus menjadi pilihan utama pelancong.
Leong berkata destinasi popular seperti Genting Highlands, Pulau Tioman, Cameron Highlands, Taman Negara dan Bandaraya Kuantan terus menjadi tarikan utama serta kekal relevan dalam peta pelancongan negara, dengan peningkatan jumlah pengunjung dari semasa ke semasa. - Gambar Bernama

KUANTAN: Pahang sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai antara destinasi pelancongan utama negara apabila mencatatkan Kadar Purata Tempoh Penginapan tertinggi di Malaysia selama tiga tahun berturut-turut dengan pencapaian 76.3 peratus pada tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang Leong Yu Man berkata pencapaian membanggakan itu direkodkan berdasarkan lebih 36,000 bilik penginapan berdaftar di seluruh negeri, mengikut data rasmi dikeluarkan Bahagian Perancangan Strategik Tourism Malaysia. 

Beliau berkata pencapaian tersebut turut membuktikan bahawa Pahang terus menjadi pilihan utama pelancong domestik mahupun antarabangsa yang mencari destinasi lengkap merangkumi alam semula jadi, pantai dan pulau, tanah tinggi, warisan budaya serta pengalaman gastronomi tempatan. 

"Pada 2025, jumlah kedatangan pelancong domestik dan antarabangsa mencatatkan sebanyak 15.28 juta orang. Kita juga optimis untuk mencapai sasaran 15.5 juta pelancong tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau turut memaklumkan bahawa lima daerah yang merekodkan prestasi kedatangan pelancong paling memberangsangkan ialah Bentong, Kuantan, Cameron Highlands, Temerloh dan Rompin.

Leong berkata destinasi popular seperti Genting Highlands, Pulau Tioman, Cameron Highlands, Taman Negara dan Bandaraya Kuantan terus menjadi tarikan utama serta kekal relevan dalam peta pelancongan negara, dengan peningkatan jumlah pengunjung dari semasa ke semasa.

Menurutnya, kejayaan itu turut didorong pelbagai usaha promosi berterusan, penganjuran acara pelancongan berskala besar, kerjasama strategik bersama pemain industri serta komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh sektor pelancongan sebagai antara pemacu ekonomi utama Pahang. 

Pada 2023, Pahang merekodkan kadar purata penginapan tertinggi dengan 74.1 peratus bilik penginapan berdaftar manakala 75.6 peratus pada 2024. 

-- BERNAMA

Must Watch Video