KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis, yang dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semalam, menegaskan statusnya sebagai wakil rakyat masih kekal.
Beliau juga berkata, akan terus menjalankan tanggungjawab sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.
"Saya bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN). Setakat hari ini saya masih lagi berperanan sebagai Timbalan Speaker (DUN), cuma ke depan saya tak pasti lagi.
“Jadi ini bergantung kepada keputusan Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor),” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Mengulas pemecatannya, Abdul Razak mempersoalkan keabsahan keputusan Lembaga Disiplin Bersatu yang didakwa tidak menjalankan proses berkenaan mengikut formaliti.
“Prosiding tiada... bermakna tidak mengikuti perlembagaan parti. Tiba-tiba terus keluar surat pemecatan, tak boleh,” katanya.
Abdul Razak turut menyatakan belum membuat sebarang keputusan untuk merayu atau sebaliknya.
“Kita tak tahu sama ada Lembaga Rayuan itu masih ada ataupun tidak, sebab saya difahamkan ahli-ahlinya pun ada yang telah berhenti,” katanya lagi.
Sanusi dilaporkan akan mempersembahkan kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, berhubung kedudukan dua ADUN Bersatu yang dipecat, iaitu Abdul Razak dan ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani.
Menurut Sanusi, kedua-dua wakil rakyat terbabit menjalankan tugas seperti biasa sementara kerajaan negeri meneliti isu berkenaan.
Abdul Razak menjelaskan beliau juga menunggu keputusan yang bakal diumumkan kelak selepas pertemuan tersebut.
“Biar Menteri Besar menghadap Tuanku dulu, saya akan patut apa saja titah yang akan dikeluarkan oleh Istana Kedah,” katanya lagi.
Semalam, Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan berkata pemecatan kedua-dua ADUN itu dibuat mengikut Fasal 22.5 dan berkuat kuasa serta-merta pada 8 Mei.
Tindakan itu diambil susulan pelanggaran terhadap Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti serta Kod Etika Bersatu yang didakwa dilakukan oleh mereka.