PETALING JAYA: Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli bersama sekutunya, bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan akan mengambil alih Parti Bersama Malaysia, sebuah parti politik kecil yang berpangkalan di Pulau Pinang.
Parti Bersama Malaysia didaftarkan pada Disember 2016 dengan matlamat menjadi kuasa ketiga selain memainkan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan serta blok pembangkang.
Pengumuman itu sekali gus menamatkan spekulasi mengenai hala tuju politik Ahli Parlimen Pandan dan Ahli Parlimen Setiawangsa berkenaan selepas kedua-duanya dilihat tidak lagi sehaluan dengan kerajaan MADANI, khususnya PKR pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perkara itu diumumkan dalam majlis Pengumuman Hala Tuju Politik Rafizi dan Nik Nazmi, di sini, pada Ahad.